Nurin Jazlin, peristiwa tragis kehilangan dan kematiannya pernah menggemparkan rakyat Malaysia, hampir dua dekad yang lalu.
Kini, ia kembali menjadi perhatian ramai apabila bapanya, Jazimin Abdul Jalil, memuat naik satu permintaan yang menyentuh perasaan di sebuah kumpulan Facebook baru-baru ini.
BAPA NURIN JAZLIN MINTA SUNTING GAMBAR, UNDANG SEBAK RAMAI

Perkongsian gambar arwah Nurin Jazlin oleh bapanya, Jazimin Abdul Jalil di Facebook ‘Edit Apa Hari Ini’. Al-Fatihah.
Dalam hantaran di Facebook ‘Edit Apa Hari Ini’, Jazimin meminta bantuan ahli kumpulan untuk menggabungkan gambarnya bersama foto arwah anaknya dan menyuntingnya dalam saiz besar bagi tujuan dibingkaikan.
Permintaan ringkas itu ternyata menyentuh hati ribuan rakyat Malaysia. Hantaran berkenaan pantas menjadi tular apabila meraih hampir 16,000 tanda suka dan lebih 2,000 komen.
Ramai warga maya turut menghasilkan suntingan gambar sebagai tanda solidariti dan sokongan moral kepada bapa yang telah kehilangan anak dalam tragedi paling menyayat hati negara.
Baca juga: Ibu Buta Merangkak Keluar Sejauh 150 Meter Minta Bantuan, Selepas Anak OKU Meninggal Dunia

Hasil editan pengguna Facebook Nursya Mohd Hussin (kiri).
Untuk rekod, Nurin Jazlin dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 ketika dalam perjalanan ke pasar malam di Wangsa Maju. Kehilangannya mencetuskan operasi pencarian besar-besaran yang melibatkan pelbagai pihak.
Bagaimanapun, usaha tersebut berakhir dengan berita duka apabila jenazah kanak-kanak itu ditemui lebih sebulan kemudian di dalam sebuah beg di kawasan Petaling Jaya, Selangor.
Hasil siasatan ketika itu mendapati Nurin menjadi mangsa penderaan yang kejam, apabila tidak diberi makan dan minum selain timun serta terung ditemukan dalam kemaluannya.
Namun, sehingga ke hari ini, identiti pelaku masih gagal dikenal pasti dan kes tersebut kekal sebagai salah satu kes jenayah paling misteri dalam sejarah negara.
Permintaan seorang ayah untuk ‘bersua’ semula dengan anaknya melalui suntingan gambar itu bukan sahaja mengundang simpati, malah mengingatkan masyarakat bahawa luka kehilangan itu tidak pernah benar-benar sembuh, walaupun sudah hampir dua dekad berlalu.
Baca juga: Tercicir Dari Keluarga, Anak 2 Tahun Berjaya Diselamatkan Polis & Orang Awam
Sumber: Sinar Harian / Facebook Edit Apa Hari Ini
FT Image: Facebook Edit Apa Hari Ini (Jazimin Abdul Jalil / Joe Rampage Rk)
