Apabila kanak-kanak kelihatan diam ketika menonton video pendek YouTube Shorts atau TikTok Kids, ramai ibu bapa menganggap mereka sedang fokus.
Namun, situasi ini sebenarnya boleh menjadi tanda bahawa otak kanak-kanak sedang terperangkap dalam fenomena yang dikenali sebagai content looping.
VIDEO PENDEK 5 SAAT TAK ELOK UNTUK TONTONAN ANAK, INI SEBABNYA

Freepik
Content looping merujuk kepada kandungan video pendek, dipaparkan secara berulang dan disambung secara automatik tanpa penamat yang jelas.
Otak tidak sempat merasakan sesuatu tontonan telah selesai, sebaliknya terus dirangsang untuk menonton video seterusnya tanpa henti. Dalam keadaan ini, kanak-kanak hanya menonton tanpa perlu berfikir atau memproses maklumat secara mendalam.
Walaupun kelihatan tidak berbahaya, pendedahan berterusan kepada kandungan sebegini boleh memberi kesan terhadap perkembangan otak kanak-kanak.
Otak menjadi terbiasa dengan rangsangan pantas dan pelepasan dopamin yang kerap. Akibatnya, aktiviti yang memerlukan tumpuan lebih lama seperti membaca buku atau bermain permainan biasa boleh dianggap membosankan, sekali gus memendekkan tempoh fokus kanak-kanak.
Kandungan video pendek juga jarang menyediakan dialog bermakna atau interaksi dua hala, yang boleh menjejaskan perkembangan bahasa dan komunikasi. Kanak-kanak mungkin menghasilkan banyak bunyi, tetapi kurang perkataan yang jelas serta lambat memberi respons apabila dipanggil.
Dalam masa yang sama, mereka cenderung menjadi pasif kerana hanya menerima rangsangan tanpa perlu bertanya atau berimaginasi.

Freepik
Dari aspek emosi, sesetengah kanak-kanak menunjukkan reaksi yang kuat apabila skrin dihentikan, seperti menangis atau marah secara melampau. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan ketagihan terhadap rangsangan pantas yang diperoleh melalui skrin.
Kalau terpaksa gunakan juga, pastikan ibu ayah:
- Elakkan untuk bawah 3 tahun
- Hadkan masa, maksimum sekitar 10 minit
- Duduk bersama dan berbual tentang apa yang ditonton
- Jangan guna sebagai alat menenangkan tantrum
Hakikatnya, video pendek berulang kali seperti ini melatih otak si kecil untuk ketagih rangsangan, bukan untuk berfikir secara mendalam. Persoalan yang perlu direnungkan oleh ibu bapa ialah sama ada anda mahu anak cepat diam atau anak yang mampu berfikir dalam jangka masa panjang.
Semoga bermanfaat!
Baca juga: Daripada Siti & Ahmad Ke Arissa & Rayyan? Ini Trend Nama Bayi Yang Hit & Sedang Popular 2026!
Sumber: Facebook Brainy Brunch
