Tinggal barang dalam kereta mungkin nampak remeh, tapi dalam cuaca panas terik sekarang, ia boleh mendatangkan risiko serius. Bukan sahaja pada barang itu sendiri, malah kepada keselamatan dan nyawa anda.
Bahkan, ramai yang menganggap kereta seperti ‘rumah kedua’ kerana hampir setiap hari kita menggunakannya untuk ulang-alik kerja, menghantar anak ke sekolah atau membeli barang keperluan. Disebabkan itu, memang biasa ada barang yang tertinggal, sama ada kerana terlupa atau sengaja disimpan untuk kegunaan seterusnya.
Baca juga: Pakar Dedah Taktik Scammer Akses Data Telefon, Hanya Guna Jemputan Kahwin Palsu
BAHAYA TINGGAL BARANG DALAM KERETA

Gambar hiasan AI
Namun, suhu di dalam kereta yang diparkir bawah matahari boleh mencecah sehingga 70°C, cukup untuk merosakkan barangan dan mengundang bahaya. Seperti yang dikongsikan pengguna TikTok @altimatsaujana, berikut adalah enam barang yang tidak patut langsung ditinggalkan dalam kereta ketika cuaca panas:
1. Makanan dan minuman
Jangan biarkan makanan atau minuman, terutamanya dalam bekas plastik berada lama di dalam kereta. Haba tinggi boleh menyebabkan bahan kimia dari plastik meresap ke dalam makanan atau minuman, menjadikannya rosak, berbau dan membahayakan kesihatan.
2. Powerbank
Bateri lithium ion dalam powerbank boleh mengembang atau meletup apabila terdedah kepada haba melampau. Walaupun kecil, ia boleh mencetuskan kebakaran di dalam kereta.
3. Pemetik api
Cecair mudah terbakar di dalam pemetik api sangat sensitif terhadap haba. Ia boleh meletup atau mencetuskan kebakaran, merosakkan kenderaan dan mengancam nyawa.
4. Petrol
Menyimpan petrol dalam botol plastik atau bekas kecil di dalam kereta adalah tindakan berisiko tinggi. Ia mudah terbakar dan terdedah kepada risiko letupan jika suhu meningkat.
5. Penyembur aerosol
Produk seperti minyak wangi, pewarna rambut, racun serangga atau cat sembur mengandungi cecair bertekanan. Apabila panas, tekanan boleh meningkat hingga menyebabkan letupan.
6. Anak-anak
Ini paling kritikal. Suhu badan kanak-kanak boleh meningkat dengan cepat dalam kereta panas, menyebabkan strok haba, dehidrasi dan dalam kes tragis boleh kematian.
“Anak-anak ni bukannya bahan yang mudah terbakar ataupun mudah meletup tapi kalau tinggal sekali anak-anak korang dalam kereta, korang yang akan meratap, korang yang akan menangis atas kehilangan,” pesan @altimatsaujana.
Kesimpulannya, walaupun anda hanya ingin meninggalkan barang ‘sekejap’, ingatlah bahawa haba dalam kereta boleh menjadi pembunuh senyap. Lindungi diri, keluarga dan kenderaan anda dengan memastikan tiada barang berisiko ditinggalkan di dalamnya.
Sumber: TikTok @altimatsaujana
FT Image: AI
