Euforia Bola 2026
Sihat

Taksub Minum Teh ‘Kempis Perut’ Tengah Viral, Sampai Usus Bertukar Jadi Hitam Macam Kulit Ular!

TEH KEMPIS PERUT

“Saya minum teh kempis perut ini, memang lawas. Sehari boleh membuang sampai lima kali. Perut terus kempis.”

Ayat ini mungkin biasa didengar, malah sering dijadikan bukti kononnya teh detox atau teh kempis perut benar-benar berkesan. Namun di sebalik perut yang kelihatan kempis itu, ada realiti kesihatan yang ramai tidak tahu atau sengaja abaikan.

Hakikatnya, cirit-birit berulang bukan tanda badan semakin sihat namun itu adalah isyarat bahawa usus sedang mengalami tekanan, keradangan dan penderaan secara berterusan.

Baca juga: Makan Daging ‘Unlimited’, Risiko Kanser Usus Menanti! Memang Sedap Tapi Hanya Bahayakan Diri

TEH KEMPIS PERUT PUNCA USUS JADI WARNA HITAM MACAM KULIT ULAR

TEH KEMPIS PERUT

Kebanyakan produk teh kempis perut atau detox segera di pasaran mengandungi bahan julap seperti senna atau Rhubarb dalam dos yang tinggi. Bahan ini akan memaksa usus mengecut secara agresif supaya najis dikeluarkan dengan cepat.

Akibatnya, pengguna akan rasa ‘ringan’, kempis dan menyangka lemak sedang terbakar. Sebenarnya, yang keluar itu hanyalah air, sisa makanan dan elektrolit, bukan lemak badan.

Apabila usus dipaksa membuang setiap hari dalam jangka masa panjang, dinding usus akan mengalami perubahan kekal. Dari warna merah jambu yang sihat, ia bertukar menjadi gelap kehitaman, seakan-akan sisik ular atau kulit harimau bintang.

Dalam dunia perubatan, keadaan ini dikenali sebagai Melanosis Coli. Ini bukan mitos atau cerita menakut-nakutkan, tetapi penemuan yang sering dilihat ketika prosedur kolonoskopi ke atas pengguna julap kronik.

Pengambilan teh kurus berasaskan julap secara berpanjangan boleh menyebabkan:

1. Usus jadi malas (Lazy Bowel Syndrome)

Apabila berhenti minum teh, usus gagal berfungsi sendiri. Akhirnya, sembelit kronik berlaku dan bergantung pada julap seumur hidup.

teh kempis perut

2. Kerosakan saraf usus

Rangsangan berlebihan boleh merosakkan saraf yang mengawal pergerakan usus.

3. Risiko terlepas diagnosis penyakit serius

Dinding usus yang terlalu gelap menyukarkan doktor mengesan polip atau tanda awal kanser semasa kolonoskopi.

Perlu difahami satu perkara penting iaitu lemak tidak keluar melalui najis. Apa yang hilang hanyalah air dan keseimbangan semula jadi usus.

Berat badan yang turun secara mendadak melalui cirit-birit bukan kejayaan, tetapi amaran awal kerosakan dalaman.

Jika benar mahu usus sihat dan berat badan terkawal, anda perlu:

  • Ambil makanan tinggi serat
  • Minum air secukupnya
  • Amalkan probiotik semula jadi
  • Bergerak dan aktif secara konsisten

Bukan dengan memaksa diri cirit setiap pagi. Kurus yang sebenar bukan menyakiti usus, tetapi menjaga badan dengan ilmu dan kesedaran.

Baca juga: Bawang Merah Tompok Hitam Tanda Ada Kulat, Kena Basuh Macam Ini Dulu Sebelum Nak Guna!

Sumber: Facebook Public Health Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×