Bacaan Amin selepas Surah al-Fatihah dalam solat berjemaah merupakan antara amalan yang biasa dilakukan, namun tidak semua memahami maksud serta hukumnya dalam Islam.
Menurut penjelasan para ulama, lafaz Amin bukan sebahagian daripada Surah al-Fatihah. Sebaliknya, hukum mengucapkannya selepas selesai bacaan al-Fatihah adalah sunat dan sangat digalakkan.
Baca juga: Ustazah Asma Harun Kongsi Hukum Pembedahan Bariatrik, Boleh Jadi Harus & Haram Hukumnya
BACAAN AMIN SELEPAS AL-FATIHAH

Berdasarkan kitab al-Fiqh al-Manhaji, perkataan Amin membawa maksud:
“Wahai Tuhan, perkenankanlah (doa kami).”
Umat Islam disunatkan mengucapkan “Amin” selepas selesai membaca firman Allah SWT:
وَلَا الضَّالِّينَ
Bagi solat yang dibaca secara kuat (jahr), imam dan makmum disunatkan mengucapkan Amin dengan suara yang boleh didengari. Manakala bagi solat yang dibaca secara perlahan (sir), lafaz tersebut diucapkan secara perlahan.
Amalan mengucapkan Amin selepas bacaan al-Fatihah turut disokong oleh beberapa hadis sahih. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang di kalangan kamu mengucapkan Amin, dan para malaikat di langit juga mengucapkan Amin, lalu kedua-duanya bertepatan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” (Riwayat al-Bukhari, No. 748 dan Muslim, No. 410)
Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila imam mengucapkan Amin, maka ucapkanlah Amin. Sesiapa yang Aminnya bertepatan dengan Amin para malaikat, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selain itu, Abu Hurairah RA turut meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW akan mengucapkan Amin selepas selesai membaca ayat terakhir Surah al-Fatihah sehingga dapat didengari oleh para sahabat yang berada di saf pertama.

Dalam riwayat Abu Dawud disebut:
“Apabila Rasulullah SAW membaca (غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ), Baginda berkata ‘Amin’ sehingga didengari oleh mereka yang berada di saf pertama.” (Riwayat Abu Daud, No. 934)
Malah, dalam riwayat Ibn Majah turut disebut bahawa bacaan Amin Rasulullah SAW bergema di dalam masjid.
Kesimpulannya, lafaz Amin bukanlah sebahagian daripada Surah al-Fatihah, namun mengucapkannya selepas imam selesai membaca al-Fatihah merupakan amalan sunat yang dianjurkan dalam Islam.
Malah, beberapa hadis sahih menjelaskan bahawa mereka yang mengucapkan Amin bertepatan dengan Amin para malaikat berpeluang memperoleh keampunan daripada Allah SWT. Justeru, umat Islam digalakkan untuk menghidupkan sunnah ini ketika menunaikan solat berjemaah.
