Baby pancake gebu antara idea menu potluck sekolah hujung tahun yang ringkas, mudah disediakan dan digemari kanak-kanak. Menariknya, pancake ini boleh dimasak menggunakan kuali takoyaki, menjadikan saiznya kecil, comel dan mudah untuk dinikmati.
Baca juga: Roti Sosej Gulung Ala-Ala Sate Untuk Kudapan, Comel Macam Ini Pasti Hati Anak Terpikat
BABY PANCAKE GEBU GUNA ACUAN TAKOYAKI, IDEA JAMUAN POTLUCK AKHIR TAHUN ANAK

Baby pancake gebu ini juga sesuai dijadikan menu tempahan kerana bahan-bahannya ringkas dan kos penyediaannya tidak mahal.
Bahan-bahan:
- 1 cawan tepung gandum
- 1½ hingga 2 sudu teh serbuk penaik
- ½ sudu teh garam
- 1 biji telur
- 1 cawan susu segar
- 1 sudu besar gula (boleh tambah hingga 3 sudu untuk lebih manis)
- 2 sudu besar mentega cair atau minyak
- 1 sudu teh esen vanila
- 1 sudu besar cuka masak

Cara-cara memasak:
1. Campurkan semua bahan kering iaitu tepung gandum, serbuk penaik, garam dan gula di dalam satu mangkuk dan gaul rata.
2. Dalam bekas lain, pukul telur bersama susu, mentega cair atau minyak serta esen vanila sehingga sebati.
3. Tuangkan campuran bahan basah ke dalam bahan kering dan kacau perlahan sehingga sebati. Elakkan mengacau terlalu lama agar pancake kekal lembut dan gebu.
4. Panaskan kuali non-stick atau kuali takoyaki menggunakan api perlahan dan sapukan sedikit minyak atau mentega.
5. Sendukkan adunan ke dalam kuali, masak sehingga permukaan berbuih dan bahagian tepi mula kering sebelum diterbalikkan.
6. Masak sehingga kedua-dua bahagian berwarna keemasan, kemudian angkat dan sedia untuk dihidangkan.
Baby pancake gebu ini boleh dihidangkan kosong atau ditambah topping seperti madu, sirap maple, coklat atau buah-buahan mengikut kesesuaian.
Selain sesuai untuk potluck sekolah, ia juga praktikal dijadikan menu sarapan, snek petang atau bekal anak-anak. Selamat mencuba!
Baca juga: Kesan Kunyit Hilang Sekelip Mata Tanpa Sental, Bekas Bertukar Nampak Macam Baru Beli!
Sumber: Facebook Faizah Salleh
