Menutup aurat merupakan antara syarat sah solat yang tidak boleh dipandang ringan. Namun, dalam situasi tertentu seperti pakaian terkoyak atau aurat terbuka mungkin berlaku tanpa sengaja. Ini yang menimbulkan persoalan adakah solat terus terbatal atau masih boleh diteruskan?
Baca juga: Ramai Keliru Sendawa Ketika Solat Boleh Batalkan Ibadah Tak? Ini Penjelasan Fiqh Untuk Rujukan
AURAT TERBUKA KETIKA SOLAT, PERLU TUTUP SEGERA ATAU BATAL SOLAT?

Foto: Freepik
Menutup aurat merupakan salah satu syarat sah solat yang wajib dipenuhi oleh setiap Muslim. Kewajipan ini bermula sejak takbiratul ihram sehingga selesai salam pertama.
Hal ini bermaksud, sepanjang tempoh tersebut, aurat hendaklah berada dalam keadaan tertutup dengan sempurna.
Jika seseorang mampu menutup aurat tetapi membiarkannya terbuka, maka solatnya menjadi tidak sah kerana telah melanggar syarat asas ibadah tersebut.
Aurat Terbuka Ketika Solat

Foto: Gemini AI
Menurut penjelasan ulama, antaranya Ibn Hajar al-Haitami, jika aurat terbuka secara tiba-tiba dan seseorang itu segera menutupnya tanpa berlengah, maka keadaan tersebut dimaafkan dan solatnya masih sah.
“Segera” di sini merujuk kepada tindakan pantas dalam tempoh yang singkat tanpa sengaja melengah-lengahkan penutupan aurat tersebut.
Jika Dibiarkan Terbuka
Sebaliknya, jika aurat terbuka dan dibiarkan tanpa usaha untuk menutupnya dengan segera, maka solat tersebut menjadi batal.
Ini kerana syarat sah solat telah tidak dipenuhi dalam tempoh ibadah sedang berlangsung. Dalam hal ini, kesedaran dan tindakan pantas amat penting bagi memastikan kesahan solat terus terpelihara.
Jika Terbuka Sedikit
Dalam fiqh, terdapat prinsip yang menyatakan bahawa sesuatu yang terlalu sedikit boleh dianggap seperti tiada. Oleh itu, jika bahagian aurat yang terdedah adalah kecil dan tidak ketara, ia boleh dimaafkan.
Namun, jika bahagian yang terdedah itu jelas dan melibatkan kawasan aurat yang besar seperti paha atau keseluruhan kaki, maka ia tidak lagi dianggap sebagai sedikit dan perlu segera ditutup.
Dibolehkan Untuk Tutup Pakai Tangan
Dalam situasi tertentu, seseorang juga dibenarkan untuk menutup aurat menggunakan tangan sekiranya tiada pilihan lain.
Perkara ini dijelaskan oleh ulama bahawa tujuan utama menutup aurat tetap tercapai walaupun menggunakan tangan, bahkan ia menjadi wajib jika tiada kain atau pakaian lain yang boleh digunakan.
Dalam keadaan ini, tangan hendaklah dikekalkan pada bahagian aurat tersebut sepanjang solat bagi memastikan ia terus tertutup.
Kesimpulannya, aurat yang terbuka ketika solat tidak semestinya terus membatalkan solat, sebaliknya bergantung kepada keadaan dan tindakan individu.
Jika ditutup dengan segera, ia dimaafkan, manakala jika dibiarkan, solat menjadi batal. Oleh itu, setiap Muslim perlu sentiasa peka dan berhati-hati agar dapat menjaga kesempurnaan ibadah solat dengan sebaiknya.
Baca juga: Selalu Solat Tanpa Pakaian Dalam Tapi Sebenarnya Sah Atau Tidak?
Sumber: Ustaz Azhar Idrus dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
FT Images: Freepik dan Gemini AI
