Baru-baru ini, isu aurat ibu dengan anak menjadi perbualan hangat apabila ramai ibu bapa mula menyedari kepentingan menjaga batas aurat walaupun dalam kehidupan seharian di rumah.
Perbincangan ini menekankan bagaimana aurat bukan sahaja aspek fizikal, tetapi juga mempengaruhi adab dan interaksi dalam keluarga.
Baca juga: Pandangan Islam Bila Kanak-Kanak Terpengaruh Dengan Video Ganas, Ini Penjelasan Hukum
AURAT IBU DENGAN ANAK JANGAN AMBIL RINGAN

Freepik
Dalam Islam, menjaga aurat merupakan satu kewajipan yang jelas. Aurat ialah bahagian tubuh yang wajib ditutup daripada pandangan orang lain, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu yang dibenarkan syarak.
Namun, persoalan sering timbul dalam kalangan ibu bapa adalah mengenai hukum membuka aurat di hadapan anak-anak kecil? Adakah dibenarkan dan sejauh mana batasannya?
Para ulama menjelaskan bahawa hukum membuka aurat di hadapan anak-anak bergantung kepada tahap usia dan kefahaman mereka.
1. Anak kecil (bawah umur 7 tahun)
Anak kecil yang belum mencapai usia tamyiz (yakni belum mampu membezakan antara baik dan buruk) tidak dikira berdosa jika melihat aurat, kerana mereka belum mempunyai kefahaman sepenuhnya tentang perkara tersebut.
Oleh itu, ibu bapa dibolehkan untuk tidak menutup aurat sepenuhnya di hadapan mereka, contohnya ketika menukar pakaian atau mandi bersama anak kecil.
Namun demikian, Islam tetap menggalakkan ibu bapa menunjukkan contoh yang baik dengan berpakaian sopan, walaupun di hadapan anak kecil, bagi membiasakan mereka dengan adab dan nilai malu sejak awal.
2. Anak yang sudah memahami (sekitar umur 3 tahun ke atas)
Apabila anak mula menunjukkan tanda-tanda faham dan mampu meniru perlakuan orang dewasa, tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik mereka tentang aurat semakin besar. Walaupun pada usia ini anak belum baligh, mereka sudah mula memproses apa yang dilihat dan didengar.
Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori:
أَمَّا غَيْرُ الْمُمَيِّزِ فَحُضُورُهُ كَغَيْبَتِهِ وَيَجُوزُ التَّكَشُّفُ لَهُ
Maksudnya: “Adapun bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz keberadaan mereka seumpama tiada, maka diharuskan mendedahkan aurat dihadapannya.” Asna al-Matalib fi Syarah Raudhu al-Tolib, 3/111
Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur [24:59]: “Dan apabila anak-anakmu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin (untuk masuk) sebagaimana perempuan-perempuan dewasa (meminta izin).”
Ayat ini menjelaskan bahawa apabila anak mencapai usia baligh dan sudah memahami adab serta batas pergaulan, maka mereka wajib diajar untuk meminta izin dan menjaga pandangan, termasuk dalam konteks aurat.

Menjaga aurat di hadapan anak-anak bukan hanya soal hukum, tetapi juga soal pendidikan moral dan akhlak. Anak yang sudah memahami (sekitar umur 3 tahun ke atas) mudah meniru perlakuan ibu bapa.
Jika mereka sering melihat aurat didedahkan di rumah, mereka mungkin membesar tanpa rasa malu terhadap tubuh sendiri atau orang lain.
Pendidikan aurat sejak kecil membantu membentuk jati diri yang beriman, beradab, dan menghormati batasan syarak. Anak di bawah 3 tahun, hukum lebih longgar, namun ibu bapa tetap digalakkan berpakaian sopan sebagai latihan awal untuk anak-anak mempelajari nilai kesopanan.
Menutup aurat di hadapan anak bukan sekadar soal hukum, tetapi juga satu bentuk pendidikan awal akhlak dan iman. Dengan cara ini, anak-anak akan membesar dalam suasana yang penuh adab, malu, dan menghormati batas syariat Islam.
Baca juga: 11 Golongan Ini Diharamkan Cium Bau Syurga, Ramai Tak Sangka Rupanya Selalu Berlaku Dalam Hidup
