Detik mencemaskan membabitkan anggota PERHILITAN di Perak menjadi perhatian ramai selepas satu rakaman video tular memaparkan pertembungan jarak dekat dengan seekor harimau belang di kawasan Chemor.
Menerusi laporan Buletin TV3, kejadian itu berlaku ketika sepasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak menjalankan pemantauan susulan aduan kehadiran haiwan pemangsa di sebuah kebun durian di Bukit Kinding.
TULAR DETIK ANGGOTA PERHILITAN TENANG BERTEMBUNG ‘PAK BELANG’

Gambar: TikTok @ilmi.narawi
Rakaman berdurasi lebih satu minit yang dikongsi di media sosial memperlihatkan situasi tegang apabila seekor harimau belang dilihat muncul secara tiba-tiba dan menghampiri pasukan berkenaan.
Dalam keadaan cemas itu, kedengaran seorang anggota kekal tenang memberi amaran kepada rakan-rakannya.
“Ada harimau, jaga-jaga, masuk kereta cepat. Jaga-jaga, undur, ambil kayu,” jerit anggota berkenaan kepada rakannya yang tidak kelihatan dalam rakaman itu.
Anggota tersebut turut dilihat mengambil sebatang kayu dan cuba menakutkan harimau berkenaan, namun haiwan itu tidak berganjak malah terus cuba merapati mereka.
“Rimau, rimau (harimau), cepat naik kereta, masuk dulu!” kedengaran suara lain mencelah.
Dalam pada itu, seorang penunggang motosikal yang berada berhampiran turut diarahkan meninggalkan kenderaannya dan segera menyelamatkan diri.

Gambar: TikTok @ilmi.narawi
Difahamkan, kesemua individu yang berada di lokasi kejadian berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda tanpa sebarang kecederaan.
Menurut laporan, kejadian tersebut dipercayai dirakam ketika pasukan anggota PERHILITAN melakukan pemantauan pada 11 Januari lalu susulan aduan kehadiran harimau belang di kawasan kebun durian sekitar Bukit Kinding, Chemor.
Harimau belang yang sama kemudiannya dipercayai berjaya masuk ke dalam perangkap yang dipasang oleh PERHILITAN di kawasan berkenaan.
Mamalia berusia sekitar dua tahun dengan anggaran berat 75 kilogram itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan fizikal sebelum dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk tindakan lanjut.
Insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata memuji ketenangan, keberanian serta profesionalisme anggota PERHILITAN ketika berdepan situasi berbahaya yang boleh mengancam nyawa.
@ilmi.narawisituasi sebenar terserempak harimau belang♬ original sound – Ilmi Narawi
Sumber: Buletin TV3 / TikTok @ilmi.narawi
FT Image: TikTok @ilmi.narawi
