Keberanian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang bertindak menyelamatkan rakan di sungai, meskipun dia tak pandai berenang bertukar menjadi tragedi, telah mengundang rasa pilu dalam kalangan keluarga.
“Anak tidak pandai berenang, tapi dia tetap mahu selamatkan rakan. Rakan selamat tapi dia yang lemas.” Demikian luah ibu kepada mangsa lemas, Muhammad Naim Mohd Zahir Alam, 12, iaitu Maizatuakma Zakaria, 46, semasa ditemui di lokasi kejadian di sungai berhampiran Jambatan Bunut Payung, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di sini pada Rabu.
MUHAMMAD NAIM BERTINDAK BERANI SELAMATKAN RAKAN MESKI TAK PANDAI BERENANG

Gambar Sinar Harian: Mohd Zahir ayah kepada arwah Muhammad Naim ditenangkan oleh ahli keluarga di lokasi kejadian.
Menurut Maizatuakma, anaknya datang ke sungai tersebut bersama tiga rakan sebaya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 3. Difahamkan, Muhammad Naim tidak sempat menukar pakaian seragam sekolah dan terus ke sungai selepas diajak rakan-rakannya.
Katanya, pengasuh memaklumkan Muhammad Naim juga belum sempat makan dan minum ketika kejadian berlaku.
“Saya dimaklumkan rakan dia mandi dan dua daripadanya lemas. Muhammad Naim telah turun ke dalam air untuk selamatkan rakannya itu dan sempat dihalang oleh salah seorang lagi rakan tapi dia tetap berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Namun selepas itu, Muhammad Naim dilaporkan tenggelam dan tidak kelihatan di permukaan air.

Gambar Sinar Harian: Maizatuakma menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Naim, yang lemas di Sungai Bunut Payung.
Allahyarham merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan dikenal sebagai seorang anak yang rapat dengan bapanya, Mohd Zahir Alam, 47.
Menurut ibunya, Muhammad Naim tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap namun beberapa hari ini (semalam) dia yang menghantar anaknya itu ke sekolah sedangkan sebelum ini hanya berbasikal.
Menurut dia, ini kerana anak bongsunya, Muhammad Nazim, 5, sering meminta arwah untuk menemankannya ke sekolah setiap pagi.
Maizatuakma turut berkongsi rasa terkilan apabila teringat permintaan anaknya yang mahu dibelikan pakaian pendidikan jasmani baharu. Namun permintaan itu ditangguhkan terlebih dahulu dan anaknya diminta memakai pakaian lama.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak bomba mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada jam 3.07 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim bersama Unit Pasukan Penyelamat di Air Pengkalan Chepa digerakkan ke lokasi.
Mayat mangsa akhirnya ditemukan pada jam 5.25 petang hasil operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan.
Baca juga: Pengantin Dibungkus Seperti Hadiah, Adat Unik Kaum Bajau Keturunan Dayang Tarik Perhatian!
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Facebook Sinar Harian
