Perjalanan menjadi jurutera nuklear bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika impian itu lahir dari sekadar minat sejak kecil. Namun, itulah kisah Ikhwan Khaleb, seorang anak muda Malaysia yang tekad mengejar cita-cita meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Kisahnya tular di media sosial apabila beliau berkongsi jatuh bangun membina kerjaya dalam bidang yang jarang diceburi rakyat Malaysia ini. Dari kagum menonton rancangan sains, hingga berjaya menjadi jurutera kanan di syarikat nuklear antarabangsa.
Baca juga: Wan Sekerat Usahawan OKU Satu Kaki Bukti Mampu Berdikari, Bakar Jiwa Orang Ramai!
IKHWAN KHALEB KINI BERGELAR JURUTERA NUKLEAR

Gambar TikTok: Ikhwan Khaleb
Menerusi akaun TikTok miliknya, beliau mula meminati bidang nuklear kerana teruja menonton rancangan di Discovery Channel dan seorang saintis terkenal dari Amerika Syarikat, Michio Kaku.
Namun, perjalanan itu tidak semudah yang disangka. Bapanya pada awalnya tidak bersetuju dengan pilihan tersebut kerana bimbang tentang masa depan industri nuklear yang tidak stabil.
Namun begitu, Ikhwan tetap berpegang teguh kepada minatnya. Selepas menamatkan SPM, beliau menerima tajaan pengajian ke Penn State University, Amerika Syarikat dalam jurusan kejuruteraan nuklear dan mekanikal.
“Ambil nuklear sebab minat, mekanikal sebagai ‘backup’ kalau tiada kerja. Memang susah ambil dua ijazah serentak. Jujur saya tak ada ‘life’ tapi nasib baik minat dan ada kawan yang satu kepala,” jelasnya.
Namun, cabaran sebenar bermula apabila beberapa bulan sebelum beliau bergraduasi pada tahun 2018, kerajaan Malaysia membubarkan Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) dan membatalkan pelan tenaga nuklear negara.
Pulang ke Malaysia, Ikhwan hanya sempat bekerja selama empat bulan di syarikat kren, MHE-Demag sebelum mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

Gambar TikTok: Ikhwan Khaleb
Baca juga: Aktres Kavita Sidhu Bukti Tiada Batas Usia, Kini Terima PHD Pada Umur 54!
Impiannya seolah kembali menyala apabila diterima bekerja di Wehaya Process. Pada tahun 2023, beliau melangkah lebih jauh dengan menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang kejuruteraan nuklear di University of Michigan, Amerika Syarikat dengan tajaan MARA.
Ditempatkan dalam pasukan reka bentuk reaktor di bawah Profesor Won Sik Yang, mentor berpengalaman lebih 40 tahun, hari-hari beliau dipenuhi dengan komitmen belajar dan bekerja dari 9 pagi hingga 12 malam.
Namun, penat lelahnya berbaloi apabila kumpulannya memenangi Anugerah Kertas Terbaik di ICAPP 2025 untuk reka bentuk Wielenga Innovation Static Salt Reactor.
Walaupun tamat pengajian dengan keputusan cemerlang CGPA 4.0, beliau tetap berdepan cabaran besar untuk mendapatkan kerja dalam industri nuklear kerana status bukan warganegara.
“Dalam 10 bulan saya hantar sekurangnya tiga permohonan kerja setiap hari tapi banyak kena tolak sebab saya bukan warganegara,” jelasnya lagi.

Gambar TikTok: Ikhwan Khaleb
Namun, berkat usaha dan tidak mudah putus asa, akhirnya pada Julai 2024, beliau diterima bekerja di syarikat nuklear terkenal, Holtec International. Yang lebih membanggakan, pada Januari lalu beliau dilantik sebagai jurutera kanan (senior engineer).
Dalam pada itu, Ikhwan turut menyatakan bahawa misi hidupnya belum selesai. Cita-cita seterusnya lebih besar iaitu membawa ilmu dan kepakaran yang telah diperoleh pulang ke tanah air.
“Saya dah capai cita-cita nak jadi jurutera nuklear tapi perjalanan ini tak akan berhenti lagi sebab misi seterusnya, nak bawa balik ilmu yang sudah dikumpul ke tanah air tercinta,” tulisnya.
Kisah inspirasi Ikhwan bukan hanya membuka mata tentang potensi tenaga nuklear di Malaysia, tetapi turut menyuntik semangat kepada generasi muda untuk tidak pernah menyerah kalah dalam mengejar impian, meskipun laluan itu jarang dilalui.
Baca juga: Bukan 1 Tapi 13 Anak Pasangan Ini Menghafaz Al-Quran, Jalani Hidup Sederhana Tapi Dalam Kalam Allah!
Sumber: TikTok @nucleartuclear
FT Image: TikTok @nucleartuclear / holtecinternational
