Kisah seorang ibu tunggal yang gigih membesarkan anak istimewanya sambil mencari rezeki dari rumah meraih perhatian ramai di media sosial baru-baru ini. Nur Asyikin Jaafar berkongsi perjalanan hidupnya sebagai ibu kepada dua orang anak, termasuk anak keduanya, Anggun Cempaka yang disahkan menghidap hidrosefalus sejak lahir.
ANAK HIDAP HIDROSEFALUS SEJAK LAHIR

Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran termasuk tekanan emosi, kos rawatan dan keadaan anak yang sering keluar masuk hospital, wanita itu tetap kuat meneruskan kehidupan demi anak-anak tercinta.
Menurut Nur Asyikin, Anggun Cempaka dilahirkan ketika kandungannya berusia 35 minggu selepas doktor mengesan keadaan yang memerlukan bayi itu dilahirkan lebih awal.
Selepas dilahirkan, Anggun perlu menjalani pemeriksaan MRI bagi mengenal pasti tahap kesihatannya. Pada ketika itu, doktor memaklumkan keadaan masih boleh dikawal dan bayi kecil itu belum sesuai menjalani pembedahan kerana faktor usia serta berat badan yang terlalu kecil.
“Memang terkejut sebab sepanjang dalam kandungan, perkembangan dia nampak seperti bayi normal. Bila pakar sahkan anak saya menghidap hidrosefalus, memang sedih sebagai seorang ibu tunggal,” katanya.
Nur Asyikin turut berkongsi bahawa tahun lalu merupakan antara detik paling sukar dalam hidupnya apabila Anggun diserang jangkitan kuman di dalam otak.
Keadaan itu menyebabkan anak kecil tersebut terpaksa menjalani lima kali pembedahan dalam tempoh setahun.
Lebih menyedihkan, Anggun juga mengalami demam panas, cirit-birit serta bengkak pada tangan dan kaki akibat jangkitan tersebut.
Namun selepas melalui pelbagai rawatan, keadaan Anggun kini menunjukkan perkembangan positif. Menurutnya, anak kecil itu yang sebelum ini tidak dapat melihat sejak lahir kini perlahan-lahan sudah mampu melihat ahli keluarga serta mula bermain dengan mainannya sendiri.
“Alhamdulillah sekarang mata dia perlahan-lahan boleh nampak kami sekeluarga. Dia juga dah pandai bermain mainan,” katanya penuh syukur.
Ambil upah lipat baju demi anak

Bagi meneruskan kehidupan, Nur Asyikin memilih untuk mengambil upah melipat baju dari rumah sebagai sumber pendapatan sampingan.
Katanya, pekerjaan itu dipilih kerana membolehkannya sentiasa berada dekat dengan Anggun yang memerlukan penjagaan rapi setiap masa.
Namun begitu, tempahan yang diterima masih belum menentu apabila hanya sekitar satu hingga dua pelanggan sebulan menggunakan servis tersebut.
Walaupun pendapatannya kecil, ia sedikit sebanyak membantu menampung kos makanan dan keperluan harian keluarga.
Dia kini hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan selain nafkah RM500 daripada bapa anak-anaknya. Jumlah itu digunakan untuk membeli susu, lampin, ubat-ubatan serta menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga.
Dalam masa sama, dia mengakui cabaran membesarkan anak istimewa seorang diri bukan sesuatu yang mudah.
“Kadang-kadang kena angkat kepala dia, bawa ke hospital, ulang-alik sana sini. Memang penat, tapi saya kena kuat untuk anak,” ujarnya.
Walaupun mengakui dirinya tidak sekuat yang disangka ramai, Nur Asyikin bersyukur kerana masih mempunyai sokongan daripada ibu bapa dan adik-beradik yang sentiasa memberi semangat kepadanya.
Katanya, selain bantuan kewangan, apa yang paling diperlukan ketika ini ialah sokongan moral dan doa daripada masyarakat.
“Sebenarnya saya tak kuat nak hadap ujian ini. Tapi keluarga saya selalu beri semangat. Kita susah di dunia, tapi insya-Allah di sana nanti Anggun akan tarik ibunya ke syurga,” katanya sebak.
Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga ini, sumbangan boleh disalurkan ke akaun berikut:
Maybank: 5699 6307 4496 (Nur Asyikin Jaafar)
Semoga setiap bantuan dan doa yang diberikan menjadi asbab kekuatan buat Nur Asyikin dan anak kecilnya, Anggun Cempaka, untuk terus menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Baca juga: ‘Checklist’ Amalan Sepanjang 10 Hari Terawal Bulan Zulhijah, Jangan Ada Yang Tertinggal…Rugi!
AMARAN!
Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Siraplimau bersama pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman portal yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.
