Seorang pelajar perempuan di India terpaksa melupakan impiannya untuk menduduki peperiksaan NEET iaitu kemasukan kursus perubatan selepas tiba hanya dua minit lewat di pusat peperiksaan.
Memetik laporan media, Ragini Vishwakarma dilaporkan tiba di pusat peperiksaan Girls’ College di daerah Vidisha pada jam 1.32 petang, sedangkan pintu masuk ditutup tepat pada jam 1.30 petang mengikut prosedur yang ditetapkan.
Baca juga: “Tak Pernah Tinggi Macam Ni…”- Ramai Wargenet Mengeluh Bil Elektrik Bulan Jun Naik Mendadak
PEPERIKSAAN NEET TAK DAPAT DITERUSKAN

Difahamkan, Ragini bersama bapanya, Umesh Singh Vishwakarma, telah bertolak dari kampung mereka di Kula, tehsil Kurwai dan menempuh perjalanan kira-kira 70 kilometer bagi menghadiri peperiksaan National Eligibility cum Entrance Test (NEET).
Menurut laporan, mereka sebenarnya telah memulakan perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kelewatan. Namun, hujan lebat serta tayar motosikal yang pancit di kawasan Dholkhedi menyebabkan perjalanan mereka tergendala.
Akibat insiden tersebut, mereka gagal tiba sebelum waktu kemasukan ditutup. Setibanya di lokasi, Umesh dikatakan berulang kali merayu kepada pegawai peperiksaan dan pengawal keselamatan agar anaknya diberikan peluang untuk masuk memandangkan kelewatan itu berlaku disebabkan situasi di luar kawalan.
Bagaimanapun, rayuan tersebut tidak dapat dipenuhi kerana pihak penganjur perlu mematuhi prosedur peperiksaan yang menetapkan tiada calon dibenarkan masuk selepas waktu yang ditetapkan.
Difahamkan, proses pengesahan biometrik bagi semua calon juga telah ditutup sebaik sahaja tempoh kemasukan berakhir.
Video kejadian tular di media sosial

Kecewa dengan keputusan itu, Umesh dilaporkan gagal mengawal emosinya sehingga menghantukkan kepala pada pagar besi pusat peperiksaan sebelum ditenangkan oleh orang awam dan anggota polis yang berada di lokasi.
Walaupun seorang pegawai peperiksaan cuba membantu membawa Ragini ke dalam pusat peperiksaan, pihak pengurusan memaklumkan bahawa beliau tidak lagi layak menduduki peperiksaan kerana proses biometrik telah selesai.
Rakaman video kejadian yang memaparkan kedua-dua beranak itu menangis di luar pusat peperiksaan kemudian tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap nasib pelajar tersebut, manakala ada juga yang berpendapat peraturan ketat peperiksaan perlu dikekalkan bagi memastikan proses peperiksaan berlangsung secara adil kepada semua calon.
Baca juga: Anak Sulung Rita Rudaini Pecah Rekod 110M Lari Berpagar, Kejohanan Olahraga MRSM Kebangsaan 2026
Sumber: mothership
