Perkongsian terbaharu mengenai keadaan anak Ako Mustapha kini hangat diperkatakan warga maya selepas isteri pelakon itu, Kartina Shuaib mendedahkan kesan trauma yang dialami anak mereka, iaitu Mika, akibat didakwa dibuli di sekolah.
Di mana, Mika mengalami gejala seperti buang air besar dan kecil tanpa sedar.
ANAK AKO MUSTAPHA TUNJUK GEJALA TRAUMA DIBULI
Kartina Shuaib berkongsi perkara tersebut menerusi satu temu bual bersama HLive. Menurutnya, anak mereka yang kini berusia 10 tahun mengalami perubahan ketara sejak beberapa bulan lalu.
“Sejak Januari, dia berak dan kencing sendiri dalam seluar. Saya sebagai ibu pernah marah, ‘Mika, kenapa malas ke tandas?’,” ujarnya.
Namun siapa sangka, perkara itu sebenarnya bukan disengajakan sebaliknya berpunca daripada trauma yang dialami akibat dibuli.
Kartina mengakui dirinya sendiri tidak menyedari perubahan dialami Mika adalah petanda trauma serius. Hanya selepas bertemu pakar psikiatri, barulah dia memahami keadaan sebenar anaknya.
“Rupanya apabila diberitahu pakar psikiatri, anak saya mengalami trauma.
“Badannya mengalami trauma sehingga apabila ada perkara yang mencetuskan ketakutan, perkara itu akan berlaku setiap hari,” ujarnya lagi.
Lebih mengesankan apabila Kartina berkata dia terduduk ketika membaca simptom yang disenaraikan pakar kerana semuanya berlaku di rumah tanpa disedarinya sebagai tanda gangguan emosi.
“Saya membaca tanda-tanda yang dialami di rumah. Mimpi ngeri, buang air kecil dan besar dalam seluar.
“Saya terduduk depan pakar psikiatri dan seolah fikiran ini tidak dapat memproses hal itu. Ya ALLAH anakku, rupanya alami trauma dari Januari,” ujarnya lanjut.
Tambahnya lagi, sebelum ini dia hanya menganggap Mika malas untuk ke tandas dan tidak menyangka anak kecil itu sebenarnya sedang menanggung ketakutan dalam diam.
Tidur sekatil dengan ibu bapa demi rasa selamat
Dalam pada itu, Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha turut berkongsi keadaan emosi anaknya yang masih trauma sehingga kini.
Menurut pelakon itu, Mika kini sering ketakutan dan memilih untuk tidur bersama ibu bapanya setiap malam demi mendapatkan rasa selamat.
“Sebagai bapa, saya mahu dia rasa selamat. Disebabkan trauma ini, dia sering ketakutan.
“Malah setiap malam, dia akan tidur di atas katil bersama kami supaya dia rasa dipantau dan dilindungi,” katanya.
Ako turut memaklumkan Mika akan menjalani dua sesi bersama pakar psikiatri di hospital di Kuala Lumpur selain satu lagi sesi bersama pakar dari Bukit Aman.
Katanya, pendekatan pakar amat penting kerana kanak-kanak yang mengalami trauma memerlukan cara komunikasi yang betul agar tidak terus tertekan ketika disoal.
“Pertemuan dengan pakar Bukit Aman amat penting kerana mereka mempunyai kepakaran khusus untuk menyoal siasat kanak-kanak,” katanya lagi.

Kesan fizikal turut ditemui pada badan Mika
Lebih mengejutkan, Kartina berkata pakar pediatrik turut menemui kesan lebam pada belakang badan Mika ketika pemeriksaan dijalankan.
“Bukan saya yang kata anak saya trauma, ia disahkan oleh pakar.
“Pakar pediatrik juga beritahu ada kesan lebam pada belakang. Saya beritahu, ‘Doktor, saya tidak tahu benda ini.’,” kongsinya sambil menahan sebak.
Pada masa sama, Kartina turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap ibu bapa pelaku buli.
“Semasa perjumpaan ibu bapa, saya terkejut kerana tidak ada seorang pun dalam kalangan ibu bapa pembuli berkenaan bertemu saya.
“Semuanya buat muka berlagak,” kongsinya lagi.
Menurut Ako, siasatan kes masih berjalan dan melibatkan pelbagai pihak termasuk guru besar, doktor, ibu bapa dan murid-murid yang terlibat.
Pada 23 April lalu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman turut mengesahkan kertas siasatan berhubung kejadian tersebut telah dibuka mengikut prosedur sedia ada.
Terdahulu, kisah Mika mula menjadi perhatian ramai selepas Ako mendedahkan anaknya menjadi mangsa buli sejak setahun lalu membabitkan lima murid termasuk dua pelajar senior dan tiga rakan sekelas.
Sumber: Instagram @officialhlive / Gempak
FT Image: Instagram @officialhlive

