Bermula hujung minggu depan, amaran hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di Malaysia. Fasa peralihan monsun ini juga akan menyebabkan angin kencang pada sebelah petang terutama di Semenanjung.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, menjelaskan bahawa keadaan itu adalah perkara biasa bagi fasa peralihan monsun.
Baca juga: Viral Video Ibu Zayn Rayyan Di Media Sosial, Polis Terima Maklumat Baharu
AMARAN HUJAN LEBAT & RIBUT PETIR DIJANGKA BERMULA MINGGU DEPAN

Freepik
“Arah angin yang pelbagai dengan kekuatan lemah menggalakkan pembentukan awan ribut petir dan seterusnya menghasilkan hujan dan ribut petir setempat dalam tempoh singkat.
“Cuaca cerah dan panas pada sebelah pagi menyebabkan aktiviti perolakan lebih aktif dan berpotensi menghasilkan awan kumulonimbus yang lebih besar menjelang awal petang,” jelasnya.
Pembentukan awan besar ini kadang kala turut menghasilkan hujan batu, belalai air atau darat selain hujan lebat dan ribut petir.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas keadaan hujan pada waktu petang berserta ribut petir dan angin kencang di Semenanjung kebelakangan ini.
Berdasarkan infografik Ramalan Cuaca Signifikan (RCS), satu analisis terhadap model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan angin timuran sedang berlaku.
Ini akan menyebabkan hujan berterusan di pantai timur Semenanjung terutama di Kelantan dan Terengganu namun berdasarkan perkembangan semasa, ibu negara turut dilanda hujan lebat dan ribut.
Mohd Hisham menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan keadaan cuaca sebegini kerana selain hujan lebat dan angin kencang, sambaran kilat turut berbahaya.
Katanya, keadaan cuaca ketika ini turut berisiko mengakibatkan pokok tumbang, kerosakan pada struktur tidak kukuh dan banjir kilat.
Orang ramai boleh mengikuti media sosial METMalaysia untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih menerusi laman sesawang (www.met.gov.my).
Maklumat juga boleh diperoleh daripada aplikasi myCuaca atau menghubungi talian hotline 1-800-22-1638 untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perubahan cuaca.
Baca juga: Kembang Tekak Tengok Lauk Sahur Ada Ulat, Punah Harapan Nak Makan Ikan Cencaru!
Sumber: BH Online
Kredit imej: Kosmo
