Euforia Bola 2026
Nur

Hari Ini Jumaat Terakhir Rejab, Jangan Lupa Baca Zikir Ringkas 35 Kali INI Di Antara Dua Khutbah Solat Jumaat

amalan hari jumaat

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan dalam Islam. Justeru, para ulama sejak dahulu sering mengingatkan umat Islam agar memperbanyakkan amalan ibadah umum seperti zikir, selawat dan doa terutamanya amalan hari Jumaat terakhir bulan Rejab (hari ini).

Menariknya, Jumaat terakhir dalam bulan Rejab ini sering dihidupkan oleh sebahagian ulama dan salafussoleh dengan amalan zikir tertentu yang ringkas, namun penuh makna, khususnya ketika menunaikan solat Jumaat.

Baca juga: Bulan Rejab Dah Tiba Di Ambang Tahun Baharu 2025, Buat 13 Amalan Ini Untuk Pahala & ‘Test’ Diri

AMALAN HARI JUMAAT TERAKHIR BULAN REJAB, ULAMA SARAN BACA KETIKA SOLAT JUMAAT

amalan hari jumaat

Foto hiasan.

Menurut perkongsian di laman Facebook UstazlahOfficial, zikir yang dikongsikan ini merupakan amalan orang alim ulama soleh dari luar negara. Antara zikir yang disebut dalam catatan amalan sebahagian ulama ialah bacaan:

“Ahmad Rasulullah, Muhammad Rasulullah”

Maksudnya: Ahmad utusan Allah, Muhammad utusan Allah..

Zikir ini dianjurkan untuk dibaca sebanyak 35 kali, khususnya ketika khatib duduk di antara dua khutbah solat Jumaat pada Jumaat terakhir bulan Rejab.

Walaupun amalan ini tidak disandarkan kepada hadis sahih yang khusus, ia termasuk dalam amalan zikir dan pengagungan kepada Rasulullah SAW yang dibenarkan secara umum dalam syariat Islam.

Ramai jemaah tidak menyedari bahawa ketika khatib duduk di antara dua khutbah, kita dianjurkan untuk diam dan menjaga adab, namun zikir atau doa secara perlahan dalam hati tetap dibenarkan.

Perkara ini dijelaskan oleh para ulama, antaranya Imam al-Nawawi, yang menyebut bahawa berzikir secara perlahan ketika khatib duduk tidak termasuk dalam larangan, selagi tidak mengganggu khutbah dan suasana masjid.

Oleh sebab itu, zikir “Ahmad Rasulullah, Muhammad Rasulullah” dianjurkan dibaca dengan penuh penghayatan dan secara perlahan, tanpa menggerakkan bibir atau suara yang kuat.

Kenapa Menyebut Nama Ahmad & Muhammad? Ini Amalan Kelebihan, Bukan Wajib

amalan hari jumaat

Foto: freepik

Nama Ahmad dan Muhammad adalah antara nama utama Rasulullah SAW yang disebut dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman dalam Surah as-Saff ayat 6 bahawa Nabi Isa AS telah mengkhabarkan tentang seorang rasul selepasnya yang bernama Ahmad. Manakala nama Muhammad pula disebut dalam beberapa surah lain, antaranya Surah Muhammad dan Surah al-Fath.

Para ulama menjelaskan bahawa menyebut nama-nama ini termasuk dalam bentuk ta‘zim (pengagungan) dan tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW, yang selari dengan perintah Allah agar umat Islam memperbanyakkan selawat dan ingatan terhadap Baginda.

Perlu dijelaskan bahawa amalan ini tergolong dalam fadhā’il al-a‘māl (amalan kelebihan), bukan ibadah khusus yang diwajibkan atau ditetapkan secara qat‘ie.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam karya beliau Lata’if al-Ma‘arif menjelaskan bahawa bulan Rejab tidak mempunyai ibadah khusus, namun umat Islam sangat digalakkan memperbanyakkan amalan kebaikan secara umum kerana ia termasuk dalam bulan yang dimuliakan Allah. Begitu juga penjelasan oleh para mufti dan ulama kontemporari yang menekankan bahawa selagi sesuatu amalan itu:

  • Tidak bercanggah dengan syariat
  • Mengandungi unsur zikir dan kebaikan
  • Tidak diyakini sebagai wajib

Maka ia dibenarkan sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah. Kadangkala, amalan yang paling memberi kesan bukanlah yang panjang dan rumit, tetapi yang dilakukan dengan ikhlas dan penuh kecintaan.

Jika kita diberi peluang bertemu Jumaat terakhir bulan Rejab, apa salahnya kita menghidupkan waktu tersebut dengan zikir yang ringkas ini. Mudah-mudahan ia menjadi sebab:

  • Bertambah rasa cinta kepada Rasulullah SAW
  • Hati lebih lembut dan tenang
  • Persediaan rohani menjelang Syaaban dan Ramadan

Jom sama-sama amalkan yang baik, semoga Allah SWT terima.

Baca juga: “Mudahnya Perjalanan Hidup Dia..”- 7 Petua Hidup WAJIB Amal, Memang Nampak Beza!

Sumber: Ustazlah Official, Mufti Wilayah Persekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×