Ramai antara kita pernah melalui situasi bangun tidur lalu mendapati pakaian atau telekung mempunyai kesan air liur basi. Ada yang tidak mengendahkannya dan terus bersiap untuk solat tanpa memikirkan mengenai kesahihannya. Perkongsian Ustazah Asma’ Harun memberi pencerahan terperinci tentang perkara yang sering berlaku dalam kehidupan seharian ini.
Baca juga: Lelaki & Perempuan ‘Selamba’ Gurau Lucah Di Pejabat, Ringan Di Mulut, Tapi Berat Di Sisi Hukum..
AIR LIUR BASI BAWA SOLAT, SAH ATAU TIDAK

Dalam syarat sah solat, kebersihan tubuh, pakaian dan tempat solat perlu dipastikan bebas daripada najis. Walaupun begitu, para ulama sepakat bahawa air liur manusia secara asasnya adalah suci.
Dalam Surah al-Isra’ ayat 70, Allah SWT menyatakan bahawa manusia dimuliakan, manakala hadis Nabi SAW juga menegaskan bahawa seorang mukmin tidaklah dianggap najis. Bahkan hadis tentang Saidatina Aisyah r.a. menceritakan Nabi SAW meminum daripada tempat beliau minum ketika haid, menunjukkan air liur tidak menjejaskan kesucian.
Namun, kekeliruan berlaku apabila muncul istilah air liur basi yang biasanya merujuk kepada air liur yang keluar ketika tidur lalu mengering, berubah warna atau berbau masam.
Menurut para ulama, air liur yang keluar daripada mulut ketika tidur tetap dihukumkan suci kerana ia tidak membawa unsur najis. Masalah hanya timbul jika air liur tersebut sudah bercampur dengan kandungan perut seperti muntah, darah gusi yang banyak atau cecair asid yang berbau kuat. Cecair seperti ini bukan lagi dianggap air liur biasa, sebaliknya termasuk dalam kategori najis.

Imam al-Khatib al-Shirbini menjelaskan bahawa jika air yang keluar ketika tidur berbau busuk dan jelas berwarna kuning seperti datang dari perut, maka ia dihukumkan najis.
Namun jika ia adalah air liur biasa yang keluar dari mulut, hukumnya suci. Imam al-Nawawi juga membahaskan isu ini dengan lebih terperinci.
Jika air liur keluar sejurus seseorang tidur dan kemudian mengering, ia biasanya berasal dari mulut tetapi jika seseorang tidur lama dan masih merasakan basah itu seolah-olah baru keluar, ada kemungkinan ia berasal daripada perut.
Dalam keadaan ragu-ragu, ulama menasihatkan agar pakaian dibersihkan sebagai langkah berhati-hati, namun tidak mewajibkannya.
Kesimpulannya, solat dengan pakaian yang terkena air liur tidur adalah sah selagi ia benar-benar air liur biasa. Hanya jika diyakini air tersebut bercampur dengan kandungan perut barulah ia dikira najis dan perlu dibersihkan.
Dalam keadaan tidak pasti, mencucinya adalah pilihan terbaik, namun tidak sampai membebankan atau menyebabkan was-was yang tidak perlu.
Baca juga: Ramai Jemaah Akui Hati Rasa Lain Bila Di Madinah, Ternyata Ada Sebab Ketenangan Sukar Digambarkan
Sumber: Facebook Ustazah Asma Harun’
