Sejak pemergian murid berusia sembilan tahun, Abdul Fattah Khairol Rizal yang maut dalam tragedi lubang kumbahan di mana dia terjatuh pada Sabtu lalu, kisah persahabatan sejati antara arwah dan rakannya terus menyentuh hati orang ramai.
Kisah ini mengundang air mata sesiapa sahaja apabila setiap hari, sahabat baik arwah dikenali sebagai Qarnain dilihat menziarahi pusara Abdul Fattah. Sayunya..
ABDUL FATTAH MAUT TRAGEDI LUBANG KUMBAHAN, RAKAN BAIK ZIARAH KUBUR SETIAP HARI

Beberapa keping gambar kanak-kanak itu berdiri dan duduk di sisi kubur sahabatnya dikongsikan oleh bapa arwah, Khairol Rizal Mustafar, 42 tahun, menerusi laman Tiktok @abifattah dan membuatkan ramai netizen sebak.
“Pakcik tahu Qarnain rindu dengan Abdul kan? Pakcik pun sama dengan Qarnain..Maafkan pakcik ye..” tulisnya.
Menurut Khairol Rizal, foto berkenaan sebenarnya dihantar oleh bapa Qarnain kepadanya. Melihat keikhlasan persahabatan dua anak kecil itu, dia merasakan wajar untuk dikongsi kepada orang ramai.
“Saya muat naik di media sosial kerana begitu tersentuh dengan kasih sayang dan persahabatan sejati mereka. Setiap kali rindu pada arwah, saya akan buka semula gambar dan video di TikTok,” katanya ketika dihubungi.
Sahabat Sejak Tahun Tiga

Mengimbas hubungan akrab mereka, Khairol Rizal berkata, Abdul Fattah dan Qarnain mula bersahabat sejak di Tahun Tiga. Hubungan itu semakin rapat apabila mereka ditempatkan di kelas yang sama serta duduk bersebelahan.
“Guru kelas mereka ada beritahu, Qarnain sebelum ini seorang murid yang aktif. Tapi sejak pemergian arwah, dia berubah menjadi pendiam. Saya faham dia kehilangan sahabat baiknya. Saya sudah pesan kepada ayahnya supaya sentiasa beri sokongan dan motivasi kerana bimbang kesedihan itu berlarutan,” jelasnya.
Mengulas mengenai tindakan lanjut terhadap isu keselamatan di sekolah, khususnya penggunaan penutup tangki yang tidak selamat, Khairol Rizal yang juga guru kelas fardu ain berkata beliau dan isteri masih dalam tempoh bertenang.
“Buat masa ini, kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat. Saya dan isteri belum memikirkan apa-apa tindakan, mungkin selepas laporan penuh diperoleh baru kami akan pertimbangkan,” ujarnya.

*Sabtu lalu, negara dikejutkan dengan berita kematian Abdul Fattah selepas dipercayai terjatuh dan lemas di dalam tangki kumbahan sekolah. Rakaman orang ramai cuba menyelamatkan mangsa turut tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi.
Susulan insiden itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh. Beliau turut menegaskan tiada kompromi akan diberikan dalam soal keselamatan murid dan warga sekolah.
Sumber: Tiktok @abifattah
