Siapa sangka, seorang abang ipar boleh menjadi tempat bergantung harap, pengganti ayah, dan pelindung keluarga selepas pemergian kakaknya, dengan kasih sayang yang ikhlas tanpa mengira pertalian darah.
Begitulah kisah menyentuh hati yang dikongsikan oleh pengguna TikTok bernama Syazana Taat mengenai tentang seorang lelaki yang sanggup memikul tanggungjawab besar terhadap adik-adik arwah isterinya selepas pemergian wanita tersebut.
ABANG IPAR JAGA ADIK-ADIK ARWAH ISTERI MACAM ANAK SENDIRI

Walaupun statusnya hanyalah abang ipar namun peranannya dalam kehidupan mereka jauh lebih besar daripada sekadar gelaran itu.
Menurut perkongsian tersebut, Mohd Puad Basri@Hassan, 62, menjadi individu yang bertanggungjawab menguruskan hampir semua perkara dalam kehidupan mereka.
“Dialah yang mengeluarkan wang setiap bulan untuk menampung perbelanjaan keluarga. Dialah yang memastikan urusan persekolahan adik-adik berjalan lancar. Dialah yang menguruskan makan pakai mereka setiap hari. Malah, dia juga menjadi tempat mereka mengadu dan bergantung harap ketika menghadapi kesusahan,” jelasnya.
Pada masa yang sama, dia juga tidak pernah lupa untuk bersikap tegas demi memastikan masa depan mereka terjaga dengan baik.
Selepas kakak mereka meninggal dunia, Puad Basri memilih untuk terus menjaga dan membesarkan adik-adik arwah isterinya seperti anak sendiri.
Kasih sayangnya tidak pernah berkurang, malah dia terus memikul tanggungjawab tersebut tanpa berkira. Namun tidak semua orang memahami pengorbanan itu.
Masih ada suara-suara sumbang yang mempersoalkan tindakannya, malah mempertikaikan hubungan mereka kerana kononnya tiada lagi pertalian selepas pemergian kakak mereka.
“Sedihkan? Bila ada suara-suara sumbang yang pertikaikan kenapa kami sayangkan dia. Kenapa semua benda lebihkan dia. Tanpa dia, tak tahulah apa nasib kami. Tanpa dia mungkin kami dah tercampak dekat rumah anak yatim.

Tanpa dia mungkin kami dah berpecah belah sebab ramai nak ambil kami sebagai anak angkat. Tanpa dia mungkin hidup kami tak sempurna seperti sekarang,” luah Syazana.
Walaupun bukan ayah kandung, tanggungjawab yang dipikul serta kasih sayang yang diberikan sangat tulus dan tidak pernah berkira.
Kadangkala, keluarga bukan sekadar tentang pertalian darah tetapi tentang siapa yang sanggup kekal bersama ketika susah dan senang.
Lelaki yang bergelar abang ipar ini telah membuktikan bahawa kasih sayang yang ikhlas mampu mengatasi segala batasan hubungan.
Baca juga: Ramai Dah Mula Serbu! Ini Senarai Penuh TERKINI Tarikh Tukar Duit Raya Ikut Semua Bank
Sumber: Syazana Taat
