Baca talkin dengan suara tersekat-sekat di hadapan ahli keluarga dan kenalan, seorang abang berusia 15 tahun mengiringi pemergian adik tersayang yang rebah akibat penyakit autoimun berbahaya, Sistemik Lupus Eritematosus (SLE).
Kisah pilu ini mengundang sebak ramai apabila Yusraa Shafwan, pelajar sekolah pondok, tabah menyempurnakan talkin buat adiknya, Yusrina Syafira Yusmadi, 14, yang menghembuskan nafas terakhir pada 31 Ogos lalu.
Baca juga: Tular Netizen Kongsi Pengalaman Koma Masing-Masing, Ada Yang Trauma Teringat Jeritan Minta Tolong!
ABANG TABAH BACA TALKIN DI PUSARA ADIK

Gambar Khirrul Nirwan Bahaudin (Harian Metro)
Sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir, tangan kanan Yusrina yang lumpuh sejak beberapa bulan lalu tiba-tiba dapat diangkat, seolah-olah memberi isyarat terakhir kepada keluarga.
Perubahan mengejutkan itu menambah sebak ibu bapanya yang sudah maklum keadaan anak kedua daripada lima beradik itu semakin tenat selepas berjuang melawan SLE.
Sebelum disahkan sakit, Yusrina seorang murid yang aktif bermain bola jaring dan rajin belajar, namun hidupnya berubah apabila terlantar hampir dua bulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Dia melalui pelbagai prosedur kritikal termasuk pembedahan kepala selepas mengalami pendarahan secara tiba-tiba.
“Doktor pun pelik sebab dia tak jatuh, tapi apabila imbasan dibuat ada pendarahan dalam kepala. Malam tu juga terus dibedah sampai jam 1 pagi,” kata bapanya, Yusmadi Yusof, 42.
Menurutnya, sebelum itu anaknya sihat seperti biasa kecuali batuk berpanjangan yang disangka jangkitan ringan. Namun, serangan SLE merosakkan paru-paru serta menyebabkan komplikasi jantung berair.
Kos rawatan pula mencecah RM50,000 sebulan termasuk ubat khas, iaitu jumlah yang jauh di luar kemampuan keluarga memandangkan dia hanya bekerja kampung.
Yusmadi berkata, selepas dibenarkan keluar hospital pada 21 Julai lalu, arwah hanya bergantung pada susu khas yang cukup untuk empat hingga lima hari sahaja.
“Ini saja dia boleh makan… susu sahaja. Mujur ramai yang prihatin, sumbang katil, lampin pakai buang dan tangki oksigen,” katanya.
Namun, keadaan Yusrina semakin lemah dua minggu sebelum pemergiannya apabila tidak lagi mampu menjamah makanan, malah susu juga tidak sanggup diminum.

Gambar Khirrul Nirwan Bahaudin (Harian Metro)
Penderitaan arwah pernah disiarkan Harian Metro pada 21 Jun dan 24 Julai 2025, sekali gus membuka ruang sumbangan orang ramai.
Yusrina meninggal dunia di rumah keluarganya di Kampung Kuala Mai di sini, 1.40 pagi, 31 Ogos lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Mai di sini, pada Isnin.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Khirrul Nirwan Bahaudin (Harian Metro)
