Baru-baru ini, tular satu perkongsian di media sosial yang memaparkan pelancong di Masjid Negara bukan beragama Islam tekun mendengar penerangan mengenai Islam sehingga mencuri perhatian ramai.
Menerusi perkongsian tersebut, pelancong berkenaan dilihat menghabiskan lebih sejam mendengar penerangan daripada seorang pemandu pelancong Masjid Negara.
Baca juga: Demi Kerjaya & Masa Bersama Anak, Shila Amzah Bakal Berhijrah Ke China Tahun Hadapan
PELANCONG DI MASJID NEGARA KHUSYUK DENGAR PENERANGAN TENTANG ISLAM

Antara yang dikongsikan termasuk sejarah pembinaan Masjid Negara, cara umat Islam menunaikan ibadah, serta penerangan mengenai makna bacaan dalam solat.
“Lebih sejam, pelancong bukan beragama Islam itu khusyuk mendengar penerangan tentang Islam daripada pemandu pelancong Masjid Negara.
Hidayah itu milik Allah, beruntung buat mereka yang mencari Yang Hakiki. Rugi buat kita yang sudah memiliki, tetapi tidak mendalami,” jelasnya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang memuji usaha memperkenalkan Islam kepada pelawat dari dalam dan luar negara.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna Facebook, Shahrin Shahuddin memaklumkan individu yang memberikan penerangan itu merupakan rakannya, Dr Mahfuth, yang juga sukarelawan dalam Program Pemandu Pelancong Masjid (Masjid Tour Guide Program).
Menurutnya, dia sendiri merupakan salah seorang sukarelawan yang bertugas di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
Penerangan asas tentang Islam kepada pelawat

Dia menjelaskan bahawa para sukarelawan akan memberikan penerangan kepada pelawat, terutamanya mereka yang belum beragama Islam, mengenai sejarah masjid, sejarah Kuala Lumpur, seni bina masjid serta pengenalan asas tentang Islam.
Antara topik yang sering dikongsikan ialah kisah para nabi, empat kitab utama dalam Islam, kewajipan menunaikan solat lima waktu, ibadah puasa Ramadan, solat Jumaat serta pengenalan kepada maksud Surah al-Fatihah.
Menurutnya lagi, terdapat juga pelawat yang hadir dengan hati yang terbuka sehingga memilih untuk memeluk Islam selepas memahami ajaran agama tersebut.
“Kami juga ada menerima beberapa pelawat yang sudah bersedia untuk bersyahadah tanpa paksaan. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah,” tulisnya.
Perkongsian ini mengingatkan bahawa dakwah bukan semata-mata melalui ceramah atau syarahan, sebaliknya boleh dilakukan menerusi akhlak yang baik, layanan mesra serta perkongsian ilmu yang penuh hikmah.
Semoga usaha murni para sukarelawan yang meluangkan masa memperkenalkan keindahan Islam kepada masyarakat pelbagai bangsa dan agama terus dipermudahkan serta menjadi asbab lebih ramai mengenali ajaran Islam dengan lebih dekat.
Baca juga: Eyka Farhana Kongsi Foto Muhammad Luay Khayr Sempena Usia 2 Bulan, Ramai Kata “Copy Paste Muka Baba”
Sumber: Facebook Berita AlHijrah
