Menempuh rutin harian yang padat adakalanya meletihkan. Bagi ibu bapa terutama ibu dan suri rumah, pasti ada masanya badan terlalu penat dan memerlukan ruang untuk berehat demi menjaga kesejahteraan emosi.
Namun, kekangan masa serta tanggungjawab sering kali membatasi peluang untuk mendapatkan rehat yang berkualiti. Pantang nampak kita nak berbaring sekejap, waktu itulah anak-anak mula menagih perhatian.
Situasi begini kerap mencetuskan rasa serba salah. Di satu sudut, aktiviti bermain penting untuk perkembangan anak, namun di sudut lain, kesihatan fizikal dan mental ibu bapa juga tidak boleh diabaikan.
Untuk menangani dilema ini, ibu bapa boleh mengubah cara berinteraksi dengan anak dengan aktiviti terancang yang membolehkan ibu bapa berehat secara pasif sambil anak-anak bermain dengan selamat dan gembira.
Berikut 5 idea aktiviti kreatif yang boleh dicuba untuk mencuri masa rehat sambil merangsang imaginasi anak-anak di rumah.
Baca juga: 5 Trik Sorok Mainan Anak Supaya Ruang Tamu Tak Macam Tongkang Pecah!
1. Spa dan Salon di Rumah
Kanak-kanak memang gemar meniru perbuatan orang dewasa. Gunakan kecenderungan ini dengan mencipta senario di mana anak-anak bertindak sebagai pengurus pusat spa mewah, manakala ibu bapa pula menjadi pelanggan VIP yang mahukan rawatan eksklusif.
Anda hanya perlu berbaring dengan selesa dan sediakan beberapa alatan yang selamat seperti sikat, pengikat rambut atau losyen bayi. Tugaskan anak-anak untuk mendandan rambut atau menyapu losyen pada tangan dan kaki sebagai urutan ringan.
Bagi menampakkan situasi lebih realistik, letakkan dua hiris timun pada bahagian mata. Aktiviti ini memberi peluang untuk anda memejamkan mata dan berehat selama 15 hingga 20 minit sementara anak-anak sibuk dengan ‘tugas’ mereka.
2. Permainan Doktor dan Pesakit

Permainan bertemakan kerjaya seperti bidang perubatan selalunya menarik minat kanak-kanak. Dalam konteks ini, anda cuma perlu menterbalikkan watak tersebut mengikut kesesuaian keadaan kita yang sedang keletihan.
Anda boleh mengambil watak sebagai seorang pesakit yang menghidap gejala unik, di mana satu-satunya ubat untuk sembuh adalah dengan berbaring sepenuhnya tanpa bergerak.
Dengan menggunakan set mainan doktor, biarkan anak-anak memeriksa kadar nadi, meletakkan tuala kecil yang lembap pada dahi kononnya untuk meredakan demam, dan menulis preskripsi ubat.
Menariknya, suasana rumah akan bertukar sunyi kerana anak-anak perlu senyap untuk memberi fokus “mendengar degupan jantung” pesakit. Inilah peluang terbaik untuk anda mendapatkan power nap yang berkualiti.
3. Chef dan Pelayan Cilik
Bagi anak-anak yang aktif dan sukar duduk diam, aktiviti berbentuk perkhidmatan makanan ini sangat efektif untuk menyalurkan tenaga mereka tanpa memerlukan pergerakan fizikal daripada kita.
Jadikan sofa di ruang tamu sebagai meja makan utama di sebuah restoran eksklusif, dan anda bertindak sebagai pengkritik makanan yang ingin memesan hidangan.
Anak-anak pula perlu berulang-alik ke sudut dapur mainan mereka untuk menyediakan makanan dan menghantar kepada anda.
Proses ini akan membuatkan anak-anak kekal aktif sementara anda hanya perlu tunggu di satu tempat sambil bersandar selesa.
4. Melukis Potret

Melukis merupakan aktiviti visual yang baik untuk perkembangan motor halus kanak-kanak. Kaedah ini boleh diubah suai menjadi satu tugasan yang memerlukan tumpuan tinggi melalui konsep ‘model pegun’.
Caranya, sediakan sehelai kertas bersaiz besar dan alatan mewarna. Maklumkan kepada anak-anak bahawa anda adalah sebuah patung pameran istana yang sedang tidur. Tugas mereka adalah untuk melukis potret anda berdasarkan apa yang mereka lihat.
Syarat utama permainan ini adalah model tidak dibenarkan bergerak agar hasil lukisan tidak terjejas. Kesannya, anak-anak akan duduk dengan tenang dan fokus melihat butiran wajah anda. Selain anda dapat berehat, hasil lukisan anak-anak pastinya menjadi hiburan yang menceriakan keluarga.
5. Teka Bunyi
Permainan ini direka khusus untuk merehatkan deria penglihatan daripada skrin digital atau suasana persekitaran, sebaliknya memindahkan fokus kepada aspek pendengaran dan logik anak-anak.
Anda hanya perlu berbaring sambil memejamkan mata. Tugasan anak-anak pula adalah mencari apa sahaja objek selamat di dalam rumah yang boleh menghasilkan bunyi seperti bunyi renyukan kertas, ketukan cawan plastik, atau bunyi kunci.
Mereka akan menghasilkan bunyi tersebut dan anda perlu meneka objek yang digunakan. Aktiviti ini bukan sahaja melatih pemikiran kreatif anak-anak, malah membantu merehatkan fizikal dan minda anda tanpa perlu membuka mata sepanjang permainan berlangsung.
Melalui aktiviti pasif sebegini, ibu bapa bukan sahaja dapat memelihara tenaga yang berbaki, malah secara tidak langsung mendidik anak-anak untuk bermain secara berdikari dan berimaginasi luas.
Oleh itu, jika anda berhadapan dengan keletihan melampau selepas menguruskan tugasan harian, alternatif di atas boleh dijadikan penyelesaian untuk mendapatkan masa rehat yang sewajarnya.
