Euforia Bola 2026
Rakyat

Patutlah Ramai Mengeluh… 3 Negeri Ini Catat Kos Sara Hidup Tertinggi & Tak Sangka 2 Negeri Ini Pula Terendah

kos sara hidup

Kos sara hidup terus menjadi antara cabaran utama rakyat apabila Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) negara menunjukkan peningkatan pada 2024.

Menurut jawapan bertulis Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, IKSH meningkat kepada 105.1 mata pada 2024, berbanding 103.1 mata pada 2023, dengan tahun asas 2022 ditetapkan pada 100 mata.

Baca juga: Ramai Syukur Bil Hospital KKM Serendah RM1 & RM5, Rupanya Ada 5 Perkara Penting Yang Perlu Diambil Tahu

KOS SARA HIDUP NEGERI YANG TINGGI & RENDAH

kos sara hidup

Gambar: Elliot Andrews/Unsplash

Berdasarkan data tersebut, Putrajaya merekodkan IKSH tertinggi iaitu 106.3 mata, diikuti Kuala Lumpur (106.1 mata) dan Selangor (105.4 mata). Sebaliknya, Kelantan mencatatkan indeks paling rendah iaitu 103.9 mata, manakala Kedah berada pada 104.6 mata.

Dalam tempoh yang sama, pendapatan purata isi rumah meningkat daripada RM8,479 pada 2022 kepada RM9,155 pada 2024, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.8 peratus.

Perbelanjaan purata isi rumah pula meningkat daripada RM5,150 kepada RM5,566, atau pada kadar 3.9 peratus setahun, menunjukkan peningkatan pendapatan turut disertai kenaikan kos perbelanjaan harian.

Akmal berkata, data Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan IKSH yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan bahawa kenaikan harga barangan serta perkhidmatan asas memberi kesan kepada isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah dan working poor.

Beliau turut memaklumkan bahawa PGK nasional meningkat daripada RM2,589 pada 2022 kepada RM2,705 pada 2024, sekali gus mencerminkan peningkatan kos keperluan asas.

Sementara itu, purata PAKW nasional meningkat daripada RM4,729 kepada RM4,846 sebulan, dengan jurang yang lebih ketara antara kawasan bandar (RM5,169) dan luar bandar (RM3,712), menunjukkan kos kehidupan di bandar kekal lebih tinggi berbanding luar bandar.

Baca juga: Padat Dengan Info Peribadi, Ibu-Ibu Hamil Diingatkan Untuk TIDAK Tunjuk Buku Pink Sesuka Hati!

kos sara hidup

Gambar: Aziah Azmee (NSTP)

KERAJAAN TERUS LAKSANA PELBAGAI INISIATIF

Bagi menangani peningkatan kos sara hidup, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memberi tumpuan kepada dua strategi utama iaitu meningkatkan pendapatan rakyat dan mengawal kenaikan kos barangan serta perkhidmatan.

Antara inisiatif jangka pendek di bawah Belanjawan 2026 ialah:

  1. Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan melebihi RM15 bilion.
  2. Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM3.1 bilion kepada keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
  3. Program Penyeragaman Harga Barang di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan peruntukan RM67 juta.
  4. Pelaksanaan Payung RAHMAH dengan peruntukan RM600 juta bagi membantu menstabilkan harga barangan keperluan.
  5. Pelaksanaan subsidi bersasar menggunakan data PADU supaya bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
  6. Penguatkuasaan rantaian bekalan, pencegahan pencatutan dan amalan anti-persaingan bagi mengekang kenaikan harga barangan serta perkhidmatan.

Bagi jangka sederhana dan panjang pula, kerajaan akan memberi fokus kepada:

  1. Melaksanakan Dasar Gaji Progresif bagi memperkukuh pertumbuhan gaji pekerja.
  2. Menaikkan Perintah Gaji Minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700.
  3. Memperkukuh kemahiran dan pembangunan bakat bagi meningkatkan daya saing tenaga kerja.
  4. Meningkatkan produktiviti tenaga kerja melalui pelbagai program pembangunan modal insan.
  5. Melaksanakan reformasi pendidikan bagi memastikan tenaga kerja masa depan lebih bersedia memenuhi keperluan industri.

Menurut Akmal, pendekatan yang dilaksanakan secara berperingkat ini diharap dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup, di samping membantu meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan rentan dan pekerja yang masih berdepan cabaran kewangan walaupun mempunyai pekerjaan.

Sumber: Berita Harian

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×