Ramai mungkin tertanya-tanya mengapa tempoh menunggu di hospital semakin panjang atau mengapa doktor sektor awam dan jururawat kelihatan terlalu sibuk. Hakikatnya, sistem kesihatan awam negara kini sedang berdepan satu cabaran besar.
Buat pertama kalinya dalam tempoh sedekad, bilangan doktor sektor awam Malaysia dilaporkan mula menyusut. Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan kerana ia berlaku ketika permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan awam terus meningkat setiap tahun.
Baca juga: Ujian Kehamilan Positif Tapi Tak Jadi? Baru Tahu Ini Bezanya Chemical Pregnancy & Missed Miscarriage
BILANGAN DOKTOR SEKTOR AWAM MENURUN BUAT KALI PERTAMA DALAM 10 TAHUN

Foto: Utusan
Menurut laporan CodeBlue yang memetik Fakta Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah doktor di bawah KKM menurun sebanyak 2.7 peratus pada tahun 2024.
Secara keseluruhannya, KKM kehilangan 1,444 orang doktor, menyebabkan jumlah doktor berkurangan daripada 53,512 orang pada tahun 2023 kepada 52,068 orang pada tahun 2024.
Ini merupakan penyusutan pertama sejak tahun 2014, sekali gus menandakan perubahan besar terhadap tenaga kerja kesihatan sektor awam.
Banyak Jawatan Ditawarkan, Tetapi Tidak Diisi
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan kerajaan berjaya menyerap 4,500 pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap pada tahun ini.
Malah, lebih 18,500 pelantikan tetap telah dibuat sejak tahun 2023 dan disifatkan sebagai penyerapan terbesar dalam sejarah.
Namun begitu, menawarkan jawatan tidak semestinya bermakna semua jawatan tersebut akan diisi.
Pada tahun 2023, seramai 1,118 pegawai perubatan, iaitu kira-kira 20 peratus daripada jumlah tawaran, menolak pelantikan tetap atau tidak melaporkan diri untuk bertugas.
Situasi ini lebih ketara di beberapa negeri. Di Sarawak, kira-kira 43 peratus doktor yang ditawarkan penempatan tetap tidak melaporkan diri, manakala di Sabah, kadar tersebut dijangka boleh mencecah sehingga 50 peratus.
Doktor Sektor Awam Berpengalaman Semakin Ramai Tinggalkan KKM

Foto: Berita Harian
Golongan yang paling ramai meninggalkan KKM pada tahun 2024 ialah pegawai perubatan dan doktor pakar.
Sebanyak 1,315 doktor senior direkodkan meninggalkan sektor awam dalam tempoh tersebut.
Walaupun jawatan tetap dianggap sebagai antara insentif utama untuk mengekalkan doktor, ia dilihat tidak lagi mencukupi bagi sebahagian daripada mereka.
Antara faktor yang sering dibangkitkan termasuk:
- Beban kerja yang semakin tinggi.
- Tekanan kerja yang berpanjangan.
- Laluan latihan kepakaran.
- Peluang kerjaya dan ganjaran yang lebih baik di sektor swasta.
Sektor Swasta Terus Menarik Lebih Ramai Doktor
Ketika sektor awam kehilangan ribuan doktor, sektor swasta pula mencatatkan pertambahan tenaga kerja.
Sepanjang tahun 2024, sektor swasta merekodkan 4,648 doktor baharu, menunjukkan semakin ramai pengamal perubatan memilih untuk berhijrah ke hospital dan klinik swasta.
Perubahan ini menimbulkan persoalan tentang daya saing sektor awam dalam mengekalkan tenaga kerja mahir.
Bilangan Doktor Pelatih Juga Menurun Dengan Ketara
Selain kehilangan doktor berpengalaman, Malaysia turut berdepan cabaran mendapatkan doktor pelapis.
Statistik menunjukkan jumlah doktor pelatih (housemen) menurun sebanyak 51 peratus, daripada 13,136 orang pada tahun 2020 kepada hanya 6,406 orang pada tahun 2024.
Lebih membimbangkan, pada Januari tahun ini, daripada 5,000 slot latihan housemanship yang ditawarkan di seluruh negara, hanya 529 graduan perubatan dilaporkan hadir melaporkan diri.
Keadaan ini memberi isyarat bahawa jumlah doktor baharu yang memasuki sistem kesihatan awam juga semakin berkurangan.
Apa Kesannya Kepada Pesakit?
Apabila bilangan doktor semakin berkurangan sedangkan jumlah pesakit terus meningkat, tekanan terhadap sistem kesihatan awam menjadi lebih besar.
Antara kesan yang mungkin dirasai oleh orang ramai ialah:
- Tempoh menunggu yang lebih lama di hospital dan klinik kerajaan.
- Beban kerja doktor serta petugas kesihatan yang semakin tinggi.
- Gangguan terhadap beberapa perkhidmatan kesihatan.
- Risiko kekurangan doktor pakar di sesetengah hospital.
Beberapa hospital kerajaan juga dilaporkan mengalami gangguan perkhidmatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini susulan kekurangan tenaga kerja.
Penyusutan bilangan doktor bukan sekadar melibatkan angka semata-mata, tetapi memberi gambaran tentang cabaran yang sedang dihadapi sistem kesihatan negara.
Selain menarik lebih ramai doktor untuk kekal berkhidmat dalam sektor awam, pelbagai pihak berpandangan usaha memperbaiki kebajikan, serta latihan kepakaran juga penting bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan awam terus mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Sumber: Berita Harian dan CodeBlue
