Siapa sangka seorang murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mampu mencipta kejayaan membanggakan dalam tilawah al-Quran.
Yuki Raisha Mohd Thirmidzi, 11, membuktikan bahawa latar belakang sekolah bukan penghalang untuk menyerlah apabila dinobatkan sebagai johan pertandingan peringkat zon.
MURID SJKC 11 TAHUN JOHAN TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT ZON

Gambar: TikTok
Lebih mengagumkan, kejayaan itu diraih selepas Yuki hanya membuat persiapan selama lima hari dengan bimbingan bapanya, Mohd Thirmidzi Ibrahim, 41, yang mengakui bukan guru agama dan tidak pernah menyertai pertandingan tilawah al-Quran.
Berkongsi kisah itu, Mohd Thirmidzi berkata dia pada awalnya menyangka guru sekolah akan membimbing anaknya sebelum pertandingan yang berlangsung pada April lalu.
Bagaimanapun, disebabkan guru berkenaan tidak dapat membantu kerana kesuntukan masa, dia mengambil inisiatif untuk melatih sendiri Yuki yang bakal mengalunkan Surah al-Baqarah.
Lebih menarik, Mohd Thirmidzi mengakui dia bukanlah lepasan sekolah agama. Apa yang dimiliki hanyalah asas mengaji serta minat untuk membantu anaknya memberikan persembahan terbaik.
“Saya ibarat bidan terjun sebenarnya kerana pada awalnya menyangka guru yang akan membimbing anak sebelum menyertai pertandingan pada April lalu.
“Tapi guru itu tak dapat membantu kerana kesuntukan masa jadi saya ambil inisiatif mengajar anak yang mempersembahkan bacaan surah al-Baqarah.
“Kalau menonton video di TikTok itu, saya nampak garang kerana nak anak buat yang terbaik dan memang kena tegas kerana dia belajar di SJKC, jika tidak akan ketinggalan.
“Syukur Allah SWT izinkannya bergelar juara dan ia pencapaian yang baik buatnya kerana itu kali pertama wakil sekolahnya memenangi pertandingan tilawah al-Quran,” katanya.

Gambar: TikTok
Kejayaan muncul johan di peringkat zon melayakkan Yuki mewakili SJKC Chung Hwa ke pertandingan tilawah al-Quran peringkat daerah pada Mei lalu.
Walaupun tidak berjaya meraih kedudukan, bapanya menyifatkan penyertaan itu sebagai pengalaman yang cukup bermakna buat anaknya.
Menurutnya, setiap pertandingan memberi peluang kepada Yuki untuk meningkatkan keyakinan diri selain menambah baik mutu bacaan al-Quran.
Baca juga: Usia 66 Tahun Bukan Halangan, Wanita Ini Tular Angkat Berat 107.5kg Buat Ramai Ternganga!
Bukti usaha dan sokongan keluarga membuahkan hasil
Kejayaan Yuki bukan sahaja membanggakan keluarganya, malah menjadi inspirasi kepada ramai ibu bapa bahawa sokongan di rumah mampu memainkan peranan besar dalam perkembangan anak-anak.
Malah, pencapaian itu turut mencipta sejarah apabila Yuki menjadi wakil pertama sekolahnya muncul johan pertandingan tilawah al-Quran peringkat zon.
Kisah ini membuktikan bahawa dengan usaha, kesungguhan dan dorongan daripada keluarga, setiap anak mampu mengembangkan potensi mereka tanpa mengira latar belakang sekolah yang dihadiri.
@hmetromyBiarpun datang dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Yuki Raisha Mohd Thirmidzi, membuktikan dirinya mampu mewakili sekolahnya seterusnya bergelar johan pertandingan tilawah al-Quran peringkat zon.♬ original sound – Harian Metro
Sumber: Harian Metro
FT Image: Harian Metro
