Empat kanak-kanak lelaki berusia bawah 14 tahun di Jieyang, Guangdong, China, dihantar ke pusat pendidikan khas selepas dipercayai terlibat dalam perbuatan bakar anjing jalanan bersama anak-anaknya sehingga mati.
Menurut laporan Global Times, pihak berkuasa tempatan mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada 30 Jun lalu selepas video kejadian berkenaan tular di media sosial.
BAKAR ANJING JALANAN, TINDAKAN 4 REMAJA CETUS KEMARAHAN

Siasatan dijalankan susulan penyebaran beberapa rakaman yang memaparkan tindakan kejam dilakukan terhadap anjing jalanan tersebut.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit turut merakam sendiri perbuatan mereka, termasuk memukul anjing menggunakan kayu dan membakar anjing betina itu.
Dalam salah satu video yang tular, kedengaran anjing berkenaan menyalak dan meraung kesakitan ketika tiga kanak-kanak memukulnya serentak menggunakan sebatang kayu panjang.
Anjing betina bersama anak-anaknya dilaporkan mati akibat kecederaan yang dialami.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, keempat-empat kanak-kanak terbabit telah dihantar ke pusat pendidikan khas sebagai langkah intervensi susulan siasatan yang dijalankan.
Pada masa sama, pihak berkuasa pendidikan tempatan turut mengarahkan sekolah memperkukuhkan pendidikan berkaitan pembentukan sahsiah dan nilai dalam kalangan pelajar.
Ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak terbabit juga diminta memainkan peranan dengan melaksanakan tanggungjawab penyeliaan terhadap anak-anak mereka.
Selain itu, orang ramai diminta menghentikan penyebaran maklumat berkaitan kes memandangkan ia melibatkan individu bawah umur serta mengelakkan sebarang bentuk buli siber terhadap mereka.
Cetus kemarahan orang ramai

Insiden tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai dan kembali menghidupkan perdebatan mengenai keperluan undang-undang khusus berkaitan kekejaman terhadap haiwan di China.
Menurut laporan Channel News Asia (CNA), China ketika ini masih belum mempunyai undang-undang nasional yang khusus bagi menangani kes penderaan atau kekejaman terhadap haiwan.
Walaupun terdapat gesaan berterusan daripada masyarakat untuk mewujudkan perlindungan undang-undang yang lebih jelas terhadap haiwan, penganalisis berpandangan usaha itu masih berdepan cabaran, antaranya melibatkan kepentingan ekonomi serta pertimbangan birokrasi.
Kes ini sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai kepentingan pendidikan nilai kemanusiaan sejak usia muda di samping usaha memperkukuhkan perlindungan terhadap kebajikan haiwan.
Baca juga: Malu Tersilap Masuk Tandas Perempuan, Polis Sahkan Pelajar Buat Laporan Palsu Dakwa Diculik…
Sumber: Mothership
