Euforia Bola 2026
Famili

Remaja 16 Tahun Tampil Buat Laporan Polis..Dakwa Jadi Mangsa Buli, Diperas Wang & Diugut R*gol Oleh Rakan Sekolah!

mangsa buli

Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun didakwa menjadi mangsa buli dan pemerasan wang oleh rakan sekolah sebelum turut menerima ugutan rogol daripada teman lelaki kepada salah seorang suspek.

Baca juga: Nama ‘Muhammad’ Terus Dominasi Carta Kelahiran England & Wales, Kekal Nombor Satu 3 Tahun Berturut!

REMAJA PEREMPUAN MENJADI MANGSA BULI DAN DIUGUT ROGOL

mangsa buli

Polis Diraja Malaysia

Kes yang berlaku di Membakut itu membawa kepada penahanan empat individu, termasuk dua pelajar sekolah, selepas mangsa tampil membuat laporan polis kerana tidak lagi mampu menanggung tekanan dan ancaman yang diterimanya.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, berdasarkan laporan yang diterima, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang pada 8 Julai lalu ketika mangsa berada di sekolah.

Menurut beliau, mangsa mendakwa wang miliknya telah diambil oleh dua rakan sekolah yang merupakan pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Lima.

Siasatan lanjut serta rakaman percakapan mangsa mendapati kedua-dua pelajar terbabit dipercayai sering meminta wang daripada mangsa, dengan kejadian berulang kali berlaku ketika waktu rehat di sekolah.

Mangsa yang sudah tidak tahan dengan perbuatan tersebut kemudian memaklumkan perkara itu kepada abang sepupunya,” katanya.

Abang Sepupu Tegur Suspek, Mangsa Pula Diugut

mangsa buli

Foto: Magnific

Beliau berkata, abang sepupu mangsa kemudiannya bertemu salah seorang pelajar terbabit untuk menegur tindakannya serta meminta supaya wang milik mangsa dipulangkan.

Bagaimanapun, tindakan itu dipercayai menyebabkan pelajar berkenaan memaklumkan perkara tersebut kepada teman lelakinya yang sudah tidak bersekolah.

Tidak lama kemudian, mangsa mendakwa menerima pesanan suara daripada suspek lelaki tersebut yang dalam keadaan marah mengugut mahu merogolnya kerana berang teman wanitanya dimarahi.

Ancaman itu menyebabkan mangsa berasa takut dan mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan pihak polis.

Menurutnya lagi, mangsa turut mendakwa kejadian buli dan pemerasan yang dialaminya sebelum ini telah dimaklumkan kepada pihak sekolah.

Namun, mangsa mendakwa tiada tindakan diambil sehingga dia akhirnya membuat laporan polis bagi memastikan keselamatannya terjamin.

Empat Individu Ditahan Bantu Siasatan

Susulan laporan yang diterima, sepasukan polis menjalankan siasatan sebelum menahan dua pelajar sekolah terbabit pada Jumaat lalu kira-kira jam 7.15 malam.

Pada hari yang sama, dua lagi suspek turut diberkas bagi membantu siasatan. Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan wang secara berulang serta ugutan jenayah terhadap mangsa.

Menurut beliau, siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk buli, pemerasan, ugutan jenayah atau apa-apa perlakuan yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan pelajar.

Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang, tanpa mengira latar belakang atau status mereka.

Baca juga: Seramai 12,974 Calon Bakal Duduki SPM Ulangan 2026 Bermula 14 Julai Ini, Ini Jadual Penuh Peperiksaan

Sumber: Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×