Euforia Bola 2026
gaya hidup

5 Petua Alami Yang Ramai Orang Muda Tak Tahu. Nampak Remeh, Tapi Besar Manfaatnya Untuk Kesihatan

Petua alami

“Sementara muda ni, makan je dulu, nanti dah sakit, tak boleh makan dah…”

Inilah mindset kebanyakan daripada orang muda kita. Bagi mereka selagi boleh bangun pagi, pergi kerja dan menjalani rutin harian seperti biasa, semuanya dirasakan baik-baik sahaja.

Tapi kita kena cakna, kena tahu yang kesihatan bukan sesuatu yang berubah dalam sehari. Ia dibentuk melalui tabiat kecil yang kita lakukan setiap hari. Tidur lewat, makan tidak menentu, kurang bergerak dan terlalu lama menghadap skrin mungkin nampak biasa, tetapi jika dibiarkan berlarutan, ia boleh memberi kesan kepada tubuh.

Untuk elak tubuh badan jadi cepat lesu, lemah, tak bertenaga dan mudah sakit, ini 5 petua alami yang anda tambah dalam rutin harian anda.

1. Luangkan masa berjalan kaki selepas makan

Selepas menikmati makan tengah hari, kebanyakan daripada kita akan terus duduk semula di meja kerja atau berbaring sambil melayari telefon.

Apa kata ubah sedikit rutin itu?

Cuba berjalan kaki selama 10 hingga 15 minit selepas makan. Aktiviti ringan ini boleh membantu sistem penghadaman bekerja dengan lebih baik, selain membuatkan badan terasa lebih segar dan mengurangkan rasa mengantuk.

Tak perlu berjalan jauh. Pusing satu tingkat pejabat atau berjalan di sekitar rumah pun sudah memadai.

2. Berjemur dibawah cahaya matahari pagi

Sekarang ramai mengelak untuk kena cahaya matahari kan? Tetapi anda tahu tak cahaya matahari pada waktu pagi sebenarnya mempunyai banyak manfaat untuk tubuh?

Pendedahan kepada cahaya matahari membantu badan menghasilkan vitamin D yang penting untuk kesihatan tulang, otot dan sistem imun. Pada masa yang sama, ia juga membantu mengawal jam biologi badan supaya anda lebih bertenaga pada waktu siang dan tidur lebih lena pada waktu malam.

Jika berpeluang, luangkan sekitar 10 hingga 15 minit menikmati cahaya matahari pagi beberapa kali seminggu. Boleh dilakukan sambil menyiram pokok, bersarapan di luar rumah atau berjalan santai.

3. Tambahkan sayur dalam setiap hidangan

Ramai menganggap makan sayur itu membosankan tapi kita tak boleh nafikan khasiatnya.

Anda tak perlu ubah pola pemakanan anda. Cukup sekadar pastikan setiap hidangan utama mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis sayur. Sama ada bayam, brokoli, sawi atau ulam kegemaran, semuanya membekalkan vitamin, mineral dan serat yang diperlukan oleh tubuh.

Lagipun, serat dalam sayur juga membantu anda kenyang lebih lama dan menyokong sistem penghadaman yang sihat.

4. Kurangkan minuman bergula, sedikit demi sedikit

Tak salah menikmati minuman kegemaran sekali-sekala. Namun, jika setiap hari anda mengambil minuman bergula, eloklah anda kurangkan.

Bukan apa, minuman bergula menyumbang kepada kalori berlebihan tanpa memberi rasa kenyang. Ini boleh menyebabkan peningkatan berat badan.

Tak perlu berhenti secara mendadak. Mulakan dengan menggantikan satu gelas minuman manis dengan air kosong atau memilih minuman yang kurang gula.

Lama-kelamaan, lidah akan mula menyesuaikan diri dan anda mungkin tidak lagi bergantung kepada minuman yang terlalu manis.

5. Jadikan tidur berkualiti sebagai keutamaan

Ramai sanggup berjaga sehingga lewat malam untuk menonton drama, bermain permainan video atau menyiapkan kerja.

Sesekali mungkin tidak mengapa. Tetapi jika ia menjadi rutin, tubuh akan mula menunjukkan tanda-tanda lesu seperti sukar fokus, mudah marah dan cepat letih.

Cubalah tidur pada waktu yang sama setiap malam. Tidur yang berkualiti bukan sahaja membantu badan berehat, malah memberi peluang kepada tubuh untuk melakukan proses pemulihan secara semula jadi.

Min faham, mungkin anda tak dapat amalkan semua perkongsian petua diatas. Bagi yang tak dapat, pengambilan  suplemen boleh membantu anda melengkapkan gaya hidup sihat. Ia boleh membantu melengkapkan pengambilan nutrien harian, terutamanya bagi mereka yang sering makan di luar, mempunyai jadual kerja yang padat atau kurang mengambil makanan yang pelbagai.

Namun, penting untuk diingat bahawa suplemen bukanlah pengganti kepada makanan berkhasiat. Pilih produk yang berkualiti, ambil mengikut dos yang disarankan dan dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi jika anda mempunyai masalah kesihatan atau sedang mengambil ubat-ubatan tertentu.

Apa yang pasti, penjagaan kesihatan haruslah dilakukan sejak usia muda lagi. Mulakan dengan berjalan kaki selepas makan, dapatkan cahaya matahari pagi, makan lebih banyak sayur, kurangkan minuman bergula dan utamakan tidur yang berkualiti. Jika perlu, jadikan suplemen sebagai pelengkap kepada rutin harian anda.

Tidak perlu berubah secara drastik. Pilih satu tabiat hari ini, kekalkan sehingga menjadi rutin, kemudian tambah satu lagi.

Sedikit demi sedikit, anda akan mula merasai perubahan pada tubuh dan menikmati gaya hidup yang lebih sihat serta bertenaga.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×