Euforia Bola 2026
Famili

Sunscreen Mahal Tak Semestinya Lagi Bagus, Ini Yang Perlu Anda Tahu

Buka sahaja media sosial, lambakan produk sunscreen pasti lalu di feed kita.

Ada yang harganya mesra poket dan tidak kurang juga yang berharga ‘kayangan’ hingga mencecah ratusan ringgit untuk satu tiub kecil.

Mesti ramai yang terfikir, “Kalau harga mahal, mesti lagi berkesan dan magis untuk kulit?”

Tunggu dulu, tanggapan itu sebenarnya kurang tepat.

Dalam pemilihan sunscreen, harga bukanlah penentu utama keberkesanannya. Ayuh kita fahami kenapa sunscreen mahal tidak semestinya lagi bagus dan apa yang patut anda tengok sebelum membeli.

1. Fungsi Asas Tetap Sama: Lihat SPF dan PA

Sama ada sunscreen itu berharga RM15 atau RM150, fungsi utamanya tetap sama iaitu melindungi kulit daripada radiasi sinar UV.

Perkara paling penting yang wajib anda semak pada label adalah:

  • SPF (Sun Protection Factor): Melindungi kulit daripada sinar UVB (yang menyebabkan kulit terbakar atau sunburn). Untuk cuaca di Malaysia, perlindungan SPF 30 hingga SPF 50 sudah memadai.
  • PA (Protection Grade of UVA): Melindungi kulit daripada sinar UVA (yang menyebabkan penuaan pramatang dan jeragat). Cari yang ada perlindungan PA+++ atau PA++++.

Jika produk yang murah sudah mempunyai spesifikasi ini, ia sudah cukup untuk menjaga kulit anda.

2. Paling Penting: Sesuai Dengan Jenis Kulit

Sumber: B+ Clinic

Sunscreen mahal sekalipun kalau tidak serasi dengan jenis kulit tetap akan mengundang masalah lain seperti jerawat, liang pori tersumbat atau kulit menjadi terlalu berminyak.

  • Kulit Berminyak/Berjerawat: Lebih sesuai menggunakan sunscreen jenis gel atau matte finish.
  • Kulit Kering: Lebih memerlukan formula jenis krim yang mengandungi bahan pelembap (hydrating).

Formula sunscreen marhaen yang serasi dengan kulit anda jauh lebih baik daripada formula premium yang menyebabkan breakout.

3. Faktor “Sayang Nak Pakai” Sebab Mahal

Sumber: Dot & Key

Ini satu tabiat yang sering berlaku. Apabila membeli sunscreen yang terlalu mahal, kita cenderung untuk memakainya dalam kuantiti yang sedikit atau ‘catu’ semata-mata mahu bagi lambat habis.

Sunscreen hanya akan memberikan perlindungan optimum jika dipakai dengan kuantiti yang betul iaitu sebanyak dua jari untuk seluruh muka.

Jika anda memakai sunscreen mahal tetapi hanya menyapu secalit kecil, kulit anda tetap tidak dilindungi daripada sinaran matahari.

Lebih baik beli yang mampu milik supaya anda lebih selesa untuk pakai dalam kuantiti yang betul.

4. Keperluan Untuk ‘Reapply’ Setiap 2 Jam

Sumber: Wolipop

Ramai yang culas bab ini. Sunscreen tidak bertahan seharian suntuk selepas sekali sapuan.

Sama ada mahal atau murah, anda tetap perlu menyapu semula setiap 2 hingga 3 jam terutamanya jika banyak meluangkan masa di luar atau selepas berpeluh.

Membeli produk yang mesra poket memudahkan anda untuk reapply tanpa rasa ralat atau membazir.

Jenama mewah selalunya mahal disebabkan oleh faktor penjenamaan, pembungkusan yang eksklusif atau tambahan wangian dan bahan estetik yang lain.

Namun dari segi perlindungan perlindungan UV, fungsinya tetap sama.

Jadi, lepas ini tak perlu pening kepala nak ikat perut beli sunscreen mahal. Cari sahaja yang sesuai dengan bajet, serasi dengan kulit, dan pakai secara konsisten setiap hari!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×