Pencarum yang tidak mahu meneruskan penyertaan dalam Skim Kemalangan Bukan Bencana (LINDUNG 24 JAM) diberi pilihan untuk menarik diri daripada skim berkenaan dengan melengkapkan perakuan pelepasan liabiliti.
Borang berkaitan akan disediakan secara dalam talian menerusi laman sesawang PERKESO bermula Isnin depan bagi memudahkan pencarum yang ingin membuat pilihan tersebut.
NAK KELUAR LINDUNG 24 JAM, PERLU ISI BORANG PERLEPASAN LIABILITI

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menjelaskan, perakuan itu berfungsi sebagai dokumen rasmi sekiranya berlaku sebarang pertikaian pada masa hadapan, khususnya berkaitan kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja.
“Maksudnya sesiapa yang ingin keluar daripada skim ini, mereka perlu mengisi borang yang kita anggap sebagai perakuan pelepasan liabiliti.
“Jadi, jika mereka memilih untuk tidak (teruskan), ada pelepasan perakuan liabiliti ini, PERKESO dan majikan tidak akan bertanggungjawab. Jangan salahkan PERKESO atau majikan selepas ini,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang serta Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), Azirruan Arifin.
Pencarum perlu maklumkan kepada majikan

Menurut Mohammed Azman, pekerja yang memilih untuk tidak menyertai LINDUNG 24 JAM perlu memuat naik borang perakuan pelepasan liabiliti dan memaklumkan keputusan tersebut kepada pihak sumber manusia di tempat kerja masing-masing.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan tiada isu perundangan timbul berdasarkan peruntukan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sekiranya berlaku kemalangan kepada pencarum ketika berada di luar waktu kerja.
Bagaimanapun, keputusan untuk keluar daripada skim tersebut tidak bersifat kekal kerana pencarum masih mempunyai peluang untuk menyertai semula LINDUNG 24 JAM pada bila-bila masa sekiranya berubah fikiran.
Jika memilih untuk keluar daripada skim ini dan pada satu ketika, bila mereka sedar tiada caruman skim ini apabila berlaku kemalangan dan kemudian menyesal, mereka dipersilakan (masuk) pada bila-bila masa.
Dengan adanya pilihan ini, pencarum boleh membuat keputusan berdasarkan keperluan masing-masing, namun perlu memahami implikasi sekiranya memilih untuk tidak meneruskan perlindungan di bawah skim tersebut.
Baca juga: Top 5 Buah Paling Mahal Di Dunia, Harga Satu ‘Level’ Dengan Emas! Boleh Cecah Lebih RM60,000…
Sumber: Berita Harian
