Suasana di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah bertukar cemas apabila seorang pelajar Tingkatan 1 bertindak mengejar tiga rakannya menggunakan pisau pemotong kertas selepas dipercayai tidak tahan dibuli.
Baca juga: Program Orientasi Bertukar Duka, Pelajar Tingkatan Enam Meninggal Dunia Selepas Tiba-Tiba Rebah
PELAJAR TINGKATAN 1 KEJAR RAKAN DENGAN PISAU PEMOTONG KERTAS

Foto: Polis Diraja Malaysia
Kejadian yang berlaku sekitar jam 2.50 petang pada Khamis itu berlaku ketika satu program sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar, siasatan awal mendapati pelajar lelaki berusia 13 tahun itu dipercayai berang selepas beberapa kali dibaling ais oleh dua pelajar lain.
Beliau berkata, dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun didakwa membaling ais berulang kali ke arah suspek sehingga mencetuskan kemarahannya.
Kejar Rakan Dengan Pisau Pemotong Kertas Sejauh Kira-Kira 50 Meter

Foto: Gemini AI
Suspek kemudiannya mengeluarkan pisau pemotong kertas yang disimpan di dalam bekas pensil sebelum mengejar salah seorang pelajar terbabit sejauh kira-kira 50 meter sehingga ke kawasan surau sekolah.
Dalam keadaan panik, dua lagi pelajar yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang dicederakan.
Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal apabila seorang guru bertindak pantas memujuk pelajar terbabit supaya menyerahkan pisau tersebut.
Tiada Kecederaan Dilaporkan
Polis memaklumkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan mana-mana pelajar mahupun guru susulan insiden berkenaan.
Selepas kejadian, keluarga pelajar tersebut dipanggil ke sekolah bagi membawanya pulang.
Suspek Pernah Jalani Rawatan Psikiatri
Hasil siasatan turut mendapati pelajar berusia 13 tahun itu pernah menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka, dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu.
Selain itu, polis turut mendapati semua pelajar yang terlibat dalam kejadian berkenaan mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal tahun ini.
Insiden ini sekali lagi mengingatkan semua pihak tentang kepentingan menangani isu buli di sekolah secara serius serta memastikan setiap pelajar mendapat sokongan dan intervensi yang sewajarnya bagi mengelakkan kejadian lebih buruk daripada berlaku.
Sumber: Sinar Harian
