Sukan renang bukan sahaja menjadi aktiviti riadah, malah mempunyai pelbagai manfaat untuk perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.
Menyedari kepentingan aktiviti kecergasan sejak kecil, angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor turut memilih sukan renang sebagai salah satu bidang yang diperkenalkan kepada anak-anaknya.
Baca juga: Keputusan Rayuan UPUOnline 2026/2027 Boleh Semak Bermula Esok (2 Julai), Good Luck Adik-Adik!
SUKAN RENANG JADI PILIHAN SHEIKH MUSZAPHAR UNTUK SEMUA ANAK

Menerusi perkongsian di Instagram, Dr Sheikh Muszaphar meluahkan rasa teruja apabila pasangan kembarnya yang berusia lima tahun, Sheikh Eusoff dan Sophea Emelia, bakal menyertai pertandingan renang pertama mereka di Bukit Jalil.
Beliau turut memuat naik video memaparkan sesi latihan bersama kedua-dua anaknya, termasuk mengajar teknik ‘jump start’ sebagai persediaan menghadapi pertandingan.
“Rasa macam Deja Vu, memang satu kitaran. Buat perkara yang sama dekat anak-anak. Dulu Bella, kemudian Tasha. Selepas itu giliran Adam dan Noah dan sekarang Eusoff serta Emelia pula.
“Nanti giliran Muhammad. Memang takkan habis. Penting sangat setiap anak diberi peluang yang sama supaya besar nanti daddy tak dipersalahkan. Kena adil buat semua, baru hidup tenang,” kongsinya.
Menjawab persoalan pengikut di media sosial, Dr Sheikh Muszaphar menjelaskan bahawa renang dipilih kerana menawarkan pelbagai manfaat kepada perkembangan kanak-kanak.
Sukan tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan, malah dikatakan boleh mengurangkan risiko asma, membentuk postur badan yang baik serta menyokong tumbesaran anak.
Selain itu, renang juga mempunyai risiko kecederaan yang lebih rendah berbanding kebanyakan sukan lain kerana daya apungan air mengurangkan tekanan pada sendi dan otot.
“Faktor daya apungan air mengurangkan impak dan tekanan pada sendi serta otot, sekali gus meminimumkan risiko kecederaan berbanding sukan sentuhan yang lain,” katanya.

Bukan kemenangan jadi utama
Pada pertandingan 17th Novice Swim Meet 2026, Eusoff dan Emelia mengambil bahagian dalam dua acara iaitu gaya bebas dan kuak dada.
Sebagai bapa, Dr Sheikh Muszaphar mengakui beliau lebih teruja melihat penyertaan anak-anaknya, namun menjelaskan kemenangan bukanlah matlamat utama.
Menurutnya, penyertaan dalam pertandingan pertama ini lebih kepada membina keyakinan diri serta membentuk sikap positif yang akan memberi manfaat dalam jangka panjang.
“Daddy bangga dengan mereka. Memandangkan ini pertandingan pertama mereka, matlamat utamanya adalah untuk membina keyakinan diri mereka, keinginan untuk bersaing dan perasaan ingin menang,“ jelasnya.
View this post on Instagram
Sumber: Instagram Dr Sheikh Muszaphar
