Personaliti media sosial dan model terkenal, Nara Smith, buat pertama kali berkongsi perjalanan sukar yang dilalui keluarganya apabila anak ketiganya, Whimsy Lou, disahkan menghidap kanser.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Nara memuat naik video yang memaparkan detik-detik sepanjang rawatan anak perempuannya yang kini berusia dua tahun.
Baca juga: Kerajaan Putuskan Umur Persaraan Penjawat Awam Kekal 60 Tahun, Tiada Sebarang Perubahan
ANAK NARA SMITH USIA 2 TAHUN HIDAP KANSER

Walaupun tidak mendedahkan jenis kanser yang dihidapi, perkongsian itu menyentuh hati ramai apabila memperlihatkan kesan rawatan kemoterapi terhadap si kecil.
Menurut Nara, antara saat yang paling sukar untuk diterima adalah apabila melihat rambut kerinting anaknya mula gugur sedikit demi sedikit. Katanya, ketika rambut Whimsy melekat pada jari setiap kali dia menyentuh kepala anaknya, dia sedar kehidupan mereka sekeluarga tidak lagi sama.
Selain itu, melihat helaian rambut bertaburan di atas bantal dan tertanggal ketika memandikan Whimsy menjadi kenangan yang amat menyayat hati buat dirinya sebagai seorang ibu.
Bagaimanapun, isteri kepada model terkenal, Lucky Blue Smith, menjelaskan dia memilih untuk berkongsi pengalaman tersebut kerana berharap ia dapat memberi sokongan kepada keluarga lain yang sedang melalui ujian sama, selain meningkatkan kesedaran mengenai kanser dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam perkongsian sama, Nara turut memaklumkan perkembangan positif apabila rambut Whimsy kini mula tumbuh semula selepas menjalani rawatan.
Ruangan komen hantaran itu dipenuhi dengan ucapan semangat daripada peminat dan orang ramai yang mendoakan agar Whimsy terus diberikan kekuatan serta dikurniakan kesembuhan sepenuhnya.
PERUBAHAN LUAR BIASA FIZIKAL ANAK

Sebelum ini, Nara mendedahkan dia dan suaminya membawa Whimsy mendapatkan rawatan kecemasan selepas menyedari terdapat perubahan luar biasa pada keadaan fizikal anak mereka.
Selepas menjalani beberapa pemeriksaan termasuk sinar-X, imbasan ultrasound dan biopsi, Whimsy disahkan menghidap kanser pada penghujung tahun 2025.
Walaupun jenis kanser tersebut tidak didedahkan, Nara memaklumkan penyakit itu telah merebak sehingga menyebabkan anaknya perlu memulakan rawatan kemoterapi.
Untuk rekod, Nara dan Lucky Blue Smith mendirikan rumah tangga pada tahun 2020. Pasangan itu dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Rumble Honey, Whimsy Lou, Slim Easy dan Fawnie Golden. Lucky Blue turut mempunyai seorang lagi anak perempuan, Gravity Blue, daripada hubungan terdahulu.
Baca juga: Betul Ke Minum Kopi Boleh Buat Nafsu Seksual Lelaki & Wanita Makin Membara? Ini Jawapannya…
Sumber: Instagram Nara Smith
