Euforia Bola 2026
Didik

“Bukan Nak Rampas Tempat Pelajar Tempatan”- Pelajar China Tiba-Tiba Ramai Di IPTA, Apa Sedang Berlaku?

pelajar China

Kehadiran pelajar China di universiti awam Malaysia sejak kebelakangan ini menjadi perhatian ramai.

Ada yang tertanya-tanya mengapa jumlah mereka dilihat semakin ramai, malah timbul juga kebimbangan sama ada keadaan ini akan menjejaskan peluang pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian.

Baca juga: Sakit Mata Tengok! Tular Wanita Disyaki Warga Asing Sidai Baju Di Tepi Jalan Awam, MBDK Beri Respons

ISU PELAJAR CHINA RAMAI DI UNIVERSITI AWAM MALAYSIA

pelajar China

Gambar hiasan: Gemini AI

Bagi menjawab persoalan tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tampil menerusi satu hantaran infografik di Facebook dengan menjelaskan situasi sebenar serta manfaat kehadiran pelajar antarabangsa kepada negara.

Malaysia bukan satu-satunya destinasi pilihan pelajar China

Menurut KPT, China yang mempunyai populasi sekitar 1.4 bilion penduduk merupakan antara negara yang paling aktif menghantar rakyatnya menyambung pengajian di luar negara.

Dianggarkan kira-kira 1 juta pelajar China sedang mengikuti pengajian di pelbagai negara di seluruh dunia. Daripada jumlah itu, seramai 32,549 pelajar China sedang melanjutkan pengajian di Universiti Awam (UA) Malaysia.

Walaupun angka tersebut kelihatan besar, KPT menjelaskan ia sebenarnya jauh lebih rendah berbanding beberapa negara lain yang turut menjadi destinasi utama pelajar China.

Antaranya ialah:

  • Amerika Syarikat – 265,919 orang
  • Australia – 189,000 orang
  • United Kingdom – 149,000 orang
  • Kanada – 100,000 orang

Ini menunjukkan Malaysia hanyalah antara beberapa destinasi pilihan pelajar China di peringkat antarabangsa.

Kenapa ramai pelajar China pilih Malaysia?

Menurut KPT, terdapat beberapa faktor utama yang mendorong pelajar China serta pelajar antarabangsa dari lebih 180 negara memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi.

Antara sebabnya ialah:

  1. Kualiti pendidikan tinggi dan universiti yang diiktiraf di peringkat dunia.
  2. Kos pengajian serta kos sara hidup yang lebih berpatutan.
  3. Malaysia merupakan negara yang aman dengan masyarakat majmuk.
  4. Penggunaan Bahasa Inggeris secara meluas dalam proses pembelajaran.

Gabungan faktor-faktor ini menjadikan Malaysia semakin dikenali sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia.

Kehadiran pelajar China turut beri manfaat kepada negara

KPT turut menjelaskan bahawa kehadiran pelajar China dan pelajar antarabangsa lain bukan sekadar untuk menimba ilmu, malah memberi impak positif kepada ekonomi serta institusi pendidikan negara.

Antara manfaat yang dinyatakan ialah:

  1. Menyumbang lebih RM16.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
  2. Memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, perniagaan dan perusahaan.
  3. Membayar yuran pengajian penuh tanpa subsidi kerajaan.
  4. Membantu mengukuhkan kedudukan kewangan universiti.
  5. Meningkatkan kerjasama penyelidikan antarabangsa serta memperbaiki ranking universiti Malaysia.

Pada masa sama, KPT menegaskan semua pelajar antarabangsa perlu memenuhi syarat akademik serta melalui proses saringan kemasukan universiti yang sama ketat seperti yang ditetapkan.

Baca juga: Hospital Queen Elizabeth Ulas Isu Tular, Orang Tidur Di Lobi Bukan Pesakit Menunggu Rawatan

pelajar China

Gambar hiasan: Gemini AI

5 UNIVERSITI MALAYSIA DALAM KELOMPOK 160 TERBAIK DUNIA

Jelasnya lagi, keyakinan pelajar China dan pelajar antarabangsa terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia turut dibuktikan menerusi pencapaian universiti tempatan dalam QS World University Rankings 2027 seperti:

  • Universiti Malaya (UM) – Kedudukan 56
  • Universiti Sains Malaysia (USM) – 128
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – 130
  • Universiti Putra Malaysia (UPM) – 138
  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – 158

Pencapaian ini mengukuhkan lagi reputasi Malaysia sebagai antara destinasi pendidikan tinggi yang berkualiti di rantau ini.

Pelajar tempatan tetap diberi keutamaan

Mengulas kebimbangan orang ramai, KPT menegaskan kerajaan tidak pernah dan tidak akan menganaktirikan pelajar tempatan.

Sebaliknya, pelajar Malaysia terus diberikan keutamaan untuk menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui akses yang luas serta pelbagai bentuk bantuan dan subsidi pendidikan.

Dalam masa sama, kehadiran pelajar China dan pelajar antarabangsa lain membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih global. Pelajar tempatan turut berpeluang meningkatkan kemahiran komunikasi, memahami kepelbagaian budaya serta membina rangkaian antarabangsa yang boleh memberi manfaat kepada kerjaya pada masa depan.

KPT turut menyeru masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang mengelirukan.

Sebaliknya, kejayaan menarik pelajar China dan pelajar dari lebih 180 negara membuktikan sistem pendidikan tinggi Malaysia terus diyakini di peringkat antarabangsa tanpa mengabaikan hak serta peluang pelajar tempatan.

Sumber: Kementerian Pendidikan Tinggi

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×