Euforia Bola 2026
Asuh

Tak Paksa Ngadap Buku, Ibu Ini Kongsi 7 Didik Anak Cepat Baca Dua Bahasa Sebelum Usia 5 Tahun!

anak cepat membaca

Ramai ibu bapa mencari pelbagai cara supaya anak cepat membaca, namun tidak semua pendekatan memerlukan kelas atau latihan akademik sejak usia kecil.

Seorang ibu, Siti Huraizah, berkongsi pengalaman membesarkan dua orang anak yang sudah boleh membaca dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebelum berusia lima tahun, walaupun mereka tidak pernah mengikuti kelas membaca secara formal ketika masih kecil.

Baca juga: Anak Suka Bercakap Dengan Anak Patung? Rupanya Ini Tanda Perkembangan Yang Normal

TEKNIK ANAK CEPAT MEMBACA BM & BI

anak cepat membaca

Gambar: Threads Siti Huraizah

Menurutnya, dia tidak pernah memaksa atau mendudukkan anak-anak untuk belajar membaca setiap hari.

Malah, kelas fonik secara formal hanya diperkenalkan kepada anak sulungnya selepas berusia enam tahun, manakala anak keduanya yang kini berusia lima tahun masih belum mengikuti pembelajaran tersebut.

Baginya, membina asas yang kukuh dan minat terhadap buku jauh lebih penting daripada mengejar pencapaian awal. Berikut ialah tujuh pendekatan yang diamalkan di rumah mereka.

1. Utamakan bermain

Menurut Siti Huraizah, sebahagian besar zaman kanak-kanak anak-anaknya dihabiskan dengan bermain. Dia menyasarkan sekurang-kurangnya lima jam permainan bebas setiap hari, selain dua hingga tiga jam aktiviti di luar rumah jika berpeluang.

Aktiviti yang dilakukan termasuk:

  • Bermain di taman dan alam semula jadi
  • Memanjat dan mengimbangi badan
  • Bermain bersama rakan
  • Aktiviti yang mencabar secara terkawal (risky play)
  • Melawat muzium, zoo, ladang dan perpustakaan
  • Mengikut ibu bapa menjalankan urusan harian

Jika tidak dapat keluar rumah, boleh buat aktiviti sensori, bermain doh, menghasilkan karya seni atau aktiviti menggunakan tangan.

Menurutnya, apabila melihat kembali perkembangan anak-anak, bermain sebenarnya memberi impak yang jauh lebih besar berbanding sesi pembelajaran formal kerana ia membantu membina pelbagai kemahiran asas sebelum anak belajar membaca.

2.  Membaca sebagai rutin harian

Di rumah mereka, membaca sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian. Antaranya:

  • Buku bergambar ketika waktu snek
  • Buku cerita berbab ketika makan tengah hari atau sebelum tidur
  • Membaca surah sebelum tidur
  • Kisah para nabi dan cerita rakyat pada setiap hari Jumaat

Matlamat utamanya bukan untuk mengajar anak membaca dengan cepat, sebaliknya supaya mereka jatuh cinta dengan buku.

Sesekali, dia akan menunjukkan hubungan antara bunyi dan huruf ketika membaca. Contohnya, huruf M dibayangkan seperti gunung, manakala huruf S seperti ular.

Katanya, pendekatan ini bukan untuk menghafal, tetapi membantu anak memahami kaitan antara bunyi, simbol dan objek di sekeliling mereka.

Anak-anak juga kerap dibawa ke perpustakaan dan melihat ibu bapa sendiri membaca di rumah. Tanpa tekanan untuk cepat pandai membaca, kedua-dua anaknya membesar dengan menganggap membaca sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan.

3. Wujudkan persekitaran pembelajaran

anak pandai membaca

Gambar: Threads Siti Huraizah

Siti Huraizah percaya bahawa persekitaran juga boleh menjadi “guru”. Di rumah, pelbagai bahan disediakan dan mudah dicapai oleh anak-anak seperti:

  • Puzzle huruf
  • Papan menekap huruf
  • Huruf magnet
  • Poster abjad
  • Buku cerita

Namun, tiada sebarang paksaan untuk menggunakannya.

Selain itu, ruang untuk melukis, menulis, mencipta dan bereksperimen turut disediakan setiap hari.

Tanpa tekanan, kebanyakan kanak-kanak akan meneroka sendiri apa yang tersedia di hadapan mereka. Persekitaran seperti ini secara tidak langsung membantu anak cepat membaca kerana mereka belajar melalui pengalaman.

4. Biasakan menulis sebelum belajar membaca

Menariknya, anak-anak Siti Huraizah mula banyak menulis sebelum benar-benar membaca. Kertas, pensel, krayon, gunting, gam dan pita pelekat sentiasa tersedia di rumah.

Mereka gemar melukis, membuat kad ucapan, menghasilkan papan tanda sendiri dan bertanya cara mengeja sesuatu perkataan.

Apabila diminta, dia hanya menulis perkataan tersebut untuk disalin semula oleh anak-anak tanpa memberi arahan yang terlalu formal dan tidak terlalu menitikberatkan cara memegang pensel kerana lebih mengutamakan minat anak untuk berkarya.

Baca juga: Jangan Tunggu Tahun 6! Dr Sheikh Dedah ‘Roadmap’ Ke MRSM & SBP, Kena Siapkan Anak Dari Tahun 4

anak cepat membaca

Gambar: Threads Siti Huraizah

5. Kenalkan bunyi terlebih dahulu sebelum fonik

Sebelum mempelajari peraturan fonik, anak-anak terlebih dahulu didedahkan dengan permainan bunyi. Antaranya melalui:

  • Lagu kanak-kanak
  • Pantun
  • Puisi
  • Lagu harian

Mereka turut bermain dengan bunyi suku kata, mengenal pasti bunyi awal perkataan dan memanjangkan bunyi menggunakan jari sebagai bantuan visual.

Menurutnya, kanak-kanak belajar dengan lebih berkesan apabila melibatkan pergerakan fizikal, sekali gus membina asas literasi sebelum mempelajari fonik.

6. Galakkan anak membayangkan apa yang didengar

Salah satu aktiviti kegemarannya ialah membaca puisi atau pantun sebelum meminta anak-anak melukiskan apa yang mereka bayangkan. Tiada gambar contoh dan tiada jawapan betul atau salah. Hanya mendengar, membayangkan dan melukis.

Kini apabila melihat semula hasil lukisan lama, dia dapat melihat sendiri perkembangan imaginasi dan keupayaan anak-anak menterjemahkan idea.

7. Fonik formal diperkenalkan paling akhir

Apabila anak sulungnya berusia enam tahun, barulah dia memulakan pembelajaran fonik secara formal dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Katanya, tujuan utama bukan kerana anak belum boleh membaca, tetapi untuk memastikan anak benar-benar memahami cara menyahkod perkataan dan bukan sekadar menghafalnya.

Anak keduanya yang kini berusia lima tahun pula masih belum mengikuti pembelajaran fonik kerana beliau percaya setiap kanak-kanak mempunyai kadar perkembangan yang berbeza.

Sumber: Threads Siti Huraizah

FT Image: Siti Huraizah

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×