Euforia Bola 2026
Famili

Hasrat Bergelar Ayah Tak Kesampaian, Penjaga Gol Palestin Saleem Al-Ashqar Terkorban Dalam Serangan Di Gaza

penjaga gol

Impian seorang atlet untuk bergelar bapa tidak kesampaian apabila penjaga gol Palestin, Saleem Al-Ashqar, dilaporkan maut dalam satu serangan di Gaza awal minggu ini.

Lebih menyayat hati, Allahyarham baru lima bulan mendirikan rumah tangga, manakala isterinya kini sedang hamil anak sulung mereka.

Baca juga: Susulan Hujan Lebat Landa Phuket, Beberapa Jalan Raya Ditenggelami Air…Orang Ramai Diminta Bersedia

PENJAGA GOL SALEEM AL-ASHQAR MAUT DALAM SERANGAN DI GAZA

penjaga gol

Gambar WAFA News Agency.

Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Saleem yang berusia 32 tahun terbunuh selepas terkena tembakan yang didakwa dilepaskan oleh tentera Israel di kawasan Al-Qarara, timur laut Khan Younis.

Saleem merupakan penjaga gol yang beraksi bersama kelab Khadamat Khan Younis dan dikenali dalam komuniti bola sepak Palestin sebagai seorang pemain yang komited terhadap pasukan serta sukan yang diceburinya.

Pemergian Saleem menjadi lebih memilukan apabila dia baru sahaja melangsungkan perkahwinan kira-kira lima bulan lalu.

Difahamkan, isterinya kini sedang hamil anak sulung mereka. Hasrat untuk menyambut kelahiran cahaya mata pertama akhirnya tidak kesampaian apabila Saleem menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat menatap wajah zuriatnya.

Pemergiannya mencetuskan gelombang kesedihan dalam kalangan ahli keluarga, rakan sepasukan serta komuniti sukan Palestin dan antarabangsa.

Baca juga: Kanak-Kanak OKU Hilang Akhirnya Terjawab, Ditemui Meninggal Dalam Kebun Sawit

penjaga gol

Gambar tangkap layar daripada media sosial: Saleem Al-Ashqar

ANTARA LEBIH 1,000 ATLET PALESTIN YANG TERKORBAN

Dalam kenyataannya, PFA memaklumkan Saleem merupakan antara ratusan penggiat sukan Palestin yang terkorban sejak konflik memuncak pada Oktober 2023.

Malah, badan induk bola sepak Palestin itu turut mendakwa lebih 1,000 atlet Palestin telah terbunuh sepanjang tempoh berkenaan, sekali gus memberi tamparan besar kepada pembangunan sukan negara itu.

Pemergian Saleem turut mendapat perhatian komuniti bola sepak antarabangsa.

Kelab dari Chile, Deportivo Palestino, menerusi satu kenyataan di media sosial pada Rabu meluahkan rasa dukacita atas kehilangan penjaga gol berusia 32 tahun itu.

“Kami amat berdukacita atas pemergian tragis penjaga gol Palestin berusia 32 tahun, Salim Al-Ashqar.

“Beliau terbunuh di tangan tentera Israel. Kami amat sedih melihat insiden seumpama ini terus berlaku dan menyeru agar keadilan serta keamanan ditegakkan,” menurut kelab bola sepak tersebut.

Baca juga: “Malu Pula Rasa…” Wanita Ini Baru Sampai China, Pemandu E-Hailing Terus Tunjuk Video Tular Rakyat Malaysia

Ucapan takziah turut membanjiri media sosial daripada peminat dan penggiat sukan yang menzahirkan penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Di sebalik impian untuk terus beraksi di padang dan membina keluarga, Saleem kini dikenang sebagai antara atlet Palestin yang terkorban akibat konflik yang masih berlarutan hingga hari ini.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya serta mengurniakan ketabahan buat keluarga yang ditinggalkan.

Sumber: Berita Harian / Stadium ASTRO

FT Image: Media Sosial

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×