Bagi setiap pasangan yang berkahwin, kehadiran cahaya mata pastinya menjadi antara impian terbesar dalam membina sebuah keluarga. Namun, tidak semua dikurniakan rezeki yang sama. Ada pasangan yang hidup tiada zuriat selama bertahun-tahun, berusaha dengan pelbagai ikhtiar, namun akhirnya memilih untuk menerima ketentuan dengan hati yang reda.
Baca juga: 1,061 Bangunan Sekolah Daif Dikenal Pasti, Ada Bangunan Tidak Selamat Dari Segi Struktur
PASANGAN SUAMI ISTERI 42 TAHUN KAHWIN TIADA ZURIAT

Foto: Threads @its.sueeeeeee_
Menerusi sebuah video yang dikongsikan semula di Threads, pasangan berusia 74 dan 64 tahun itu berkongsi pengalaman hidup mereka ketika menyaksikan seorang lelaki meminta bantuan untuk membeli susu anak dalam sebuah eksperimen sosial.
Situasi tersebut mengingatkan mereka kepada perjalanan hidup sendiri yang tidak pernah berpeluang membesarkan cahaya mata.
“Kitorang dah 42 tahun kahwin, tak ada zuriat. Sebab tu bila makcik dengar… makcik sedih. Kami tak boleh dengar orang nak beli susu anak ke, kitorang tak boleh.”
Luahan spontan itu membuatkan ramai penonton turut tersentuh, malah ada yang mengakui tidak dapat menahan air mata selepas mendengar kisah pasangan berkenaan.
Pernah Berusaha, Namun Memilih Untuk Reda Hidup Tiada Zuriat

Foto: Threads @its.sueeeeeee_
Menurut wanita itu, mereka pernah berusaha mendapatkan zuriat ketika usia masih muda. Namun, apabila umur semakin meningkat, mereka memilih untuk menerima takdir dengan hati yang terbuka.
“Mungkin dulu adalah, tapi bila dah berumur, dah redalah. Reda je. Dan jaga diri masing-masing.”
Dia turut berkongsi pernah menjalani pembedahan sebelum doktor menawarkan rawatan kesuburan. Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak meneruskan rawatan tersebut kerana memikirkan faktor usia.
“Doktor kata, ‘Makcik nak buat treatment tak?’ Makcik kata tak payahlah sebab umur makcik masa tu dah 47. Sekarang kalau makcik nak buat treatment pun, nanti takut anak Down Syndrome.”
Walaupun tidak lagi meneruskan ikhtiar tersebut, pasangan itu mengakui mereka bersyukur dengan kehidupan yang dimiliki dan percaya setiap ketentuan mempunyai hikmahnya.
Tidak Mengambil Anak Angkat, Selesa Jalani Kehidupan Berdua

Foto: Threads @its.sueeeeeee_
Apabila ditanya sama ada pernah mempertimbangkan untuk mengambil anak angkat, wanita itu menjelaskan mereka memilih untuk tidak berbuat demikian kerana sudah selesa menjalani kehidupan berdua.
Malah, sehingga kini mereka sentiasa melakukan hampir semua perkara bersama sehingga orang sekeliling sudah terbiasa melihat mereka sentiasa berdua.
“Ke mana-mana pun berdua. Kalau pak cik pergi mana-mana seorang, mesti orang tanya, ‘Lagi seorang mana?‘”
Perkongsian itu jelas memperlihatkan hubungan mereka yang masih utuh meskipun diuji tanpa kehadiran zuriat sepanjang lebih empat dekad usia perkahwinan.
Ramai Titip Doa Buat Pasangan Ini
Video tersebut menerima pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-ratanya meluahkan rasa sebak dan tersentuh dengan ketabahan pasangan berkenaan.
Ramai mendoakan agar mereka terus diberikan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur serta dikurniakan kebahagiaan hingga ke akhir hayat.
Tidak kurang juga yang menyifatkan kisah ini sebagai bukti bahawa kebahagiaan dalam rumah tangga bukan semata-mata diukur melalui kehadiran anak, tetapi juga melalui kasih sayang, kesetiaan dan sikap saling menyokong antara suami isteri dalam setiap fasa kehidupan.
Baca juga: Kenapa Lepas Ada Anak Asyik Bergaduh? Rupanya Ini Punca Hubungan Suami Isteri Makin Renggang
Sumber: Threads @its.sueeeeeee_
