Kemenangan dramatik Maghribi ke atas Belanda menerusi penentuan penalti di Piala Dunia 2026 menjadi antara detik yang mencuri perhatian ramai apabila pemain dan staf pasukan dilihat melakukan sujud syukur di atas padang sebagai tanda meraikan kejayaan mara ke pusingan 16.
Aksi itu bukan sahaja diraikan oleh penyokong, malah turut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
Baca juga: Masuk Pertengahan Tahun 2026, Luangkan 5 Minit Baca Doa-Doa Ini Selepas Solat
SUJUD SYUKUR BAGI PEMAIN BOLA SEPAK DENGAN AURAT TIDAK SEMPURNA
Antara komen yang dapat perhatian seperti:
“Nak sujud syukur ada hukumnya, bukan boleh sebarang buat sujud syukur,” tulis seorang pengguna media sosial.
Komen ini akhirnya membawa kepada persoalan yang lebih penting tentang bagaimana sujud syukur dilakukan dalam keadaan seperti di padang bola sepak yang melibatkan isu aurat serta situasi spontan.
Apa itu sujud syukur dalam Islam?
Syukur merupakan pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memuji-Nya. Hakikatnya, syukur dizahirkan melalui hati yang mengiktiraf nikmat, lidah yang memuji, dan anggota badan yang melakukan ketaatan kepada Allah SWT.
Menurut ulama, syukur ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya. (Lihat Hasyiah al-Syabramalisi, 1/22).
Manakala sujud syukur pula ditakrifkan sebagai sujud yang dilakukan oleh seseorang ketika mendapat nikmat atau terhindar daripada bala. (Lihat Syarh al-Minhaj dan Hasyiah al-Qalyubi, 1/208).
Hukum Sujud Syukur: Perbezaan Pandangan Ulama
Para ulama berbeza pandangan mengenai hukum sujud syukur:
- Pandangan pertama: Ia tidak disyariatkan. Ini merupakan pendapat Abu Hanifah, Malik (dalam satu riwayat masyhur) dan al-Nakha’ie.
- Pandangan kedua: Ia disyariatkan dan hukumnya sunat. Ini merupakan pendapat Imam al-Syafi’e, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur, Ibn al-Munzir, Abu Yusuf serta sebahagian ulama Malikiyyah.
Dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan sujud syukur adalah berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abu Bakrah RA, katanya:
“Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah SWT.” (Riwayat Abu Daud, 2774)
Antara hujahnya adalah berdasarkan hadith daripada Abu Bakrah R.A, katanya:
Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakan atau khabar gembira, beliau lantas sujud untuk berterima kasih kepada Allah SWT.” (Riwayat Ibn Majah, 1394)
Para sahabat juga diriwayatkan melakukan sujud syukur dalam beberapa peristiwa besar seperti kemenangan peperangan dan penerimaan taubat.
Baca juga: UAI Dedah 6 Jersi Bola Sepak Yang Tak Elok Dipakai Umat Islam, Rupanya…Oh Nooo Abang Jangan Beli!

Gambar Twitter Bleacher Report: Barisan pemain Maghribi melakukan ‘sujud syukur’ selepas mara ke suku akhir Piala Dunia 2022.
Sujud syukur dalam dunia sukan
Dalam dunia moden, sujud syukur sering dilihat dalam kalangan atlet Muslim apabila menjaringkan gol atau memenangi perlawanan.
Antara contoh yang terkenal ialah pemain Liverpool berbangsa Mesir, Mohamed Salah, yang konsisten melakukan sujud syukur setiap kali menjaringkan gol sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.
Isu wuduk, kiblat & aurat dalam sujud syukur
Persoalan utama yang sering timbul ialah: Adakah sujud syukur perlu kepada wuduk, menghadap kiblat dan menutup aurat seperti solat?
Dalam perbahasan ulama, terdapat pandangan yang membenarkan sujud syukur dilakukan tanpa terikat dengan syarat solat seperti wuduk, kiblat dan kesempurnaan aurat.
Ini kerana sujud syukur bukanlah solat, tetapi sujud yang berdiri sendiri apabila datangnya nikmat atau kegembiraan.
Antara hujah yang dikemukakan:
- Hadith Nabi SAW menunjukkan Baginda terus sujud tanpa disebut syarat lain seperti wuduk atau kiblat.
- Sujud syukur dilakukan secara spontan ketika mendapat nikmat, dan jika disyaratkan semua syarat solat, ia akan menafikan sifat segera tersebut.
- Mengqiyaskan sujud syukur dengan solat tidak tepat kerana kerana sujud syukur itu adalah sujud dan bukannya seperti solat.
Pandangan ini turut disokong oleh Ibn Jarir al-Tabari, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah , Ibn al-Qayyim, al-Syaukani dan al-San’ani.
Baca juga: Musim Peperiksaan Dah Tiba…Ini Senarai Doa ‘Power’ Bantu Anak Skor, Mak Ayah Boleh Amalkan Bersama
Sujud syukur dengan aurat tidak sempurna
Dalam konteks pemain bola sepak, isu aurat sering dibangkitkan kerana pakaian sukan tidak menutup aurat secara sempurna menurut standard ibadah solat.
Namun ulama menjelaskan bahawa:
- Sujud syukur tidak disamakan dengan solat dari sudut syarat sah.
- Ia boleh dilakukan dalam keadaan keterbatasan seperti di padang atau situasi spontan.
- Tidak terdapat dalil yang mewajibkan kesempurnaan aurat seperti dalam solat untuk sujud syukur.
Berdasarkan pandangan ini, sujud syukur yang dilakukan oleh pemain bola sepak Muslim ketika meraikan gol atau kemenangan adalah dibolehkan walaupun dalam keadaan aurat tidak sempurna seperti lutut atau sebahagian peha terdedah.
Kesimpulan
Sujud syukur merupakan amalan yang dianjurkan sebagai tanda terima kasih kepada Allah SWT atas nikmat dan kejayaan.
Dalam konteks sukan, ia berlaku secara spontan dan tidak terikat dengan syarat sah solat seperti wuduk, kiblat atau kesempurnaan aurat.
Oleh itu, sujud syukur oleh pemain bola sepak Muslim ketika meraikan kemenangan adalah dibolehkan.
Bahkan ia boleh jadi satu cara untuk pemain bola muslim untuk menunjukkan syiar Islam dan boleh jadi juga dalam satu bentuk dakwah kepada yang bukan Islam untuk menyatakan bahawa orang Islam apabila mendapat nikmat akan tetap mengingati Allah dengan bersujud kepada-Nya.
Semoga penjelasan ini membantu memberi kefahaman yang lebih jelas dalam anda memahami tentang sujud syukur.
Sumber: Portal Zulkifli Al-Bakri
FT Image: Gulf News (X – enhanced)

