Ramai ibu bapa mungkin pernah melihat anak menggigil selepas bermain air dan menganggap ia perkara biasa akibat kesejukan. Namun, dalam situasi tertentu, itu sebenarnya boleh menjadi tanda awal tubuh sedang mengalami tekanan atau perubahan yang perlu diberi perhatian segera, terutama ketika berada di kolam renang atau taman tema air.
Baca juga: Berani Demi Selamatkan Seorang Sahabat, Khizir Derbichev Diiringi Ribuan Penghormatan Terakhir
JURURAWAT PESAN JANGAN ABAIKAN ANAK MENGGIGIL, BOLEH MENINGGAL

Kredit: Magnific
Menurut individu yang merupakan seorang jururawat, kanak-kanak tersebut dilaporkan sedang mandi dan bermain seperti biasa sebelum ibunya menyedari anaknya mula menggigil serta bibirnya kelihatan sedikit kebiruan.
Walau bagaimanapun, keadaan ketika itu dilihat masih terkawal. Tidak lama kemudian, ketika kanak-kanak berkenaan berjalan untuk meneruskan aktiviti bermain air, dia tiba-tiba rebah sebelum mengalami sawan.
Orang awam yang berada di lokasi segera memberikan bantuan kecemasan termasuk melakukan bantuan pernafasan kardio pulmonari (CPR), sebelum mangsa dibawa ke hospital.
Namun begitu, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital atau brought in dead (BID). Menurut perkongsian tersebut, keputusan bedah siasat masih belum diperoleh, justeru punca sebenar kematian masih belum dapat dipastikan.

Dalam pada itu, jururawat berkenaan menasihatkan ibu bapa supaya tidak memandang ringan sebarang perubahan kecil yang ditunjukkan oleh anak-anak, terutama ketika berada di kawasan air.
Dia menjelaskan bahawa kanak-kanak sering kali tidak mampu menerangkan keadaan diri mereka dengan jelas. Oleh itu, jika anak mula menggigil, kelihatan terlalu sejuk atau menunjukkan tanda-tanda tidak biasa seperti bibir bertukar kebiruan, ibu bapa disarankan menghentikan aktiviti, mengeringkan badan anak, memanaskannya serta memantau keadaannya terlebih dahulu sebelum membenarkan mereka bermain semula.
Walaupun punca sebenar kejadian ini masih dalam siasatan, perkongsian tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran ibu bapa agar sentiasa mengutamakan keselamatan serta lebih peka terhadap sebarang tanda yang ditunjukkan oleh anak-anak ketika melakukan aktiviti di air.
Sumber: Threads nurynfatimah_7
