Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, Khizir Derbichev, menjadi perhatian ramai selepas dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan rakannya yang hampir lemas di Sungai Sunzha, berhampiran kampung Yandare, Daerah Nazran, Republik Ingushetia, Rusia.
KHIZIR DERBICHEV SELAMATKAN KAWAN NAMUN MAUT KERANA LEMAS

Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM), kejadian yang berlaku pada 15 Jun 2026 itu menyaksikan Khizir bersama dua rakannya berada di kawasan sungai sebelum salah seorang daripada mereka terjatuh ke dalam arus deras. Ketika seorang lagi rakan berlari mendapatkan bantuan orang dewasa, Khizir bertindak memasuki sungai bagi membantu rakannya.
Difahamkan, rakannya berjaya diselamatkan selepas bantuan tiba, namun Khizir pula dihanyutkan arus yang kuat dan dilaporkan hilang.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan ribuan sukarelawan dari beberapa wilayah sekitar berlangsung selama lapan hari sebelum jasadnya ditemukan pada 22 Jun 2026 di kawasan hilir sungai.
Pemergian Khizir mengundang kesedihan masyarakat setempat. Ribuan penduduk hadir memberikan penghormatan terakhir pada majlis pengebumiannya, manakala kisah keberaniannya terus menjadi perhatian ramai.
Walau bagaimanapun, PHM menegaskan bahawa kisah ini bukan sekadar mengenai keberanian seorang kanak-kanak, malah menjadi peringatan penting kepada ibu bapa dan masyarakat mengenai aspek keselamatan di kawasan berair.

Menurut PHM, kanak-kanak tidak seharusnya mengambil risiko menyelamatkan mangsa lemas kerana tindakan tersebut memerlukan latihan dan kemahiran khusus.
Dalam situasi kecemasan, mereka perlu diajar supaya segera menjerit meminta pertolongan, memanggil orang dewasa serta menghubungi talian kecemasan, bukannya terus terjun ke dalam air.
Pada masa sama, ibu bapa dinasihatkan agar tidak membiarkan anak-anak bermain berhampiran sungai, lombong, tali air, parit besar, air terjun atau pantai tanpa pengawasan.
Kisah Khizir Derbichev wajar dijadikan iktibar agar tragedi seumpama ini tidak berulang, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengawasan orang dewasa dan pendidikan keselamatan air sejak usia kecil.
Baca juga: Hari Bekerja Hibrid Bermula 1 Ogos Ini…Tiada Had Radius 8KM, Pegawai Di Negeri & Daerah Turut Layak
Sumber: Public Health Malaysia
