Tular di media sosial baru-baru ini sebuah video yang memaparkan sebuah kerusi khas bertanda “reserved” atau dikhaskan untuk insan tersayang yang telah meninggal dunia dalam satu majlis perkahwinan.
Perbuatan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, dengan ada yang menganggapnya sebagai simbolik mengenang arwah, manakala sebahagian lain mempersoalkan kesesuaiannya dari sudut agama.
Baca juga: Hari Bekerja Hibrid Bermula 1 Ogos Ini…Tiada Had Radius 8KM, Pegawai Di Negeri & Daerah Turut Layak
TREND KERUSI KHAS UNTUK ORANG DAH MENINGGAL DI MAJLIS PERKAHWINAN

Difahamkan amalan menyediakan tempat duduk khas untuk individu yang telah meninggal dunia bukanlah budaya masyarakat Islam dan tidak mempunyai sandaran dalam ajaran Islam.
Hal ini kerana tindakan tersebut lebih sinonim dengan budaya masyarakat tertentu di luar negara sebagai simbol memperingati si mati. Justeru, umat Islam disarankan supaya berhati-hati agar tidak melakukan perkara yang boleh membawa kepada unsur tasyabbuh iaitu menyerupai amalan atau ritual agama dan budaya lain yang tidak bersesuaian dengan syariat.
Walaupun niat asal mungkin sekadar ingin mengenang insan tersayang, umat Islam digalakkan memilih cara yang lebih bertepatan dengan ajaran agama.
Antara kaedah yang boleh dilakukan termasuk mendoakan arwah, menghadiahkan bacaan al-Fatihah, berkongsi kisah kebaikan dan jasa mereka kepada ahli keluarga serta tetamu, atau menyelitkan ucapan penghargaan terhadap insan yang telah pergi dalam majlis berkenaan.
Seperti mana anda sedia maklum, Islam mengajar agar setiap bentuk penghormatan kepada si mati dilakukan mengikut panduan syarak, tanpa meniru amalan yang tidak mempunyai asas dalam agama.
Perkongsian tersebut turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa mendapatkan penjelasan daripada sumber yang sahih sebelum mengikuti sesuatu trend yang tular di media sosial. Ini kerana tidak semua amalan yang kelihatan baik atau menyentuh emosi selari dengan tuntutan Islam.

Trend ‘Reserved’ adat luar dan bukan Islam
Dalam era media sosial hari ini, setiap trend baharu wajar dinilai dengan ilmu dan kefahaman agama agar tidak menimbulkan kekeliruan atau membuka ruang kepada amalan yang bercanggah dengan syariat.
Sumber: Threads
