Euforia Bola 2026
Inspirasi

“Kami Tak Mengalah”- Hilang Sebelah Kaki Akibat Nahas, Dua Beradik Ini Bangkit Berniaga Cendol!

dua beradik

Semangat dua beradik dari Kampung Seri Lebak ini wajar dijadikan inspirasi apabila mereka memilih untuk bangkit meneruskan kehidupan dengan berniaga cendol selepas kehilangan kaki kanan dalam satu kemalangan jalan raya.

Walaupun diuji dengan keadaan fizikal yang berubah, mereka tetap cekal membantu meringankan beban keluarga.

Baca juga: Ramai Lelaki Gagal Bukan Sebab Malas…Tapi Sebab Tak Ada 4 Mindset Macam Cristiano Ronaldo Ini

dua beradik

Gambar ihsan Nor Haziera: Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi (kiri) bersama kakaknya, Nik Haznita Saffiya.

Dalam kejadian pada 7 Februari tahun lalu, motosikal yang dinaiki Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi, 18, bersama kakaknya, Nik Haznita Saffiya, 20, terlibat dalam nahas dengan sebuah lori sehingga menyebabkan kaki kanan kedua-duanya terpaksa dipotong akibat kecederaan parah.

Namun, ujian itu tidak sedikit pun mematahkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan.

Kasihan lihat abah terus menanggung keluarga

Menurut Nik Haziera, sebelum kemalangan mereka sering membantu abang mengusahakan perniagaan cendol. Selepas melalui detik hitam itu, kedua-dua mereka sepakat untuk kembali berniaga kerana tidak sanggup melihat bapa mereka terus bekerja keras menyara keluarga enam beranak.

“Kami kasihan melihat abah yang bekerja kampung untuk menyara kami sekeluarga.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, beban abah semakin berat. Saya dan kakak sepakat bangkit semula dan berniaga seperti dahulu untuk membantu abah dan umi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Cabaran paling sukar selepas bergelar OKU

Nik Haziera yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan kini merupakan atlet pelapis lawan pedang kerusi roda negara berkata, cabaran terbesar selepas bergelar orang kurang upaya (OKU) ialah menyesuaikan diri dengan pergerakan yang semakin terbatas.

“Dulu kami berdua memang berdikari, mampu mengangkat barang untuk berniaga, memasang kanopi serta menguruskan pelbagai kerja sendiri.

“Tetapi selepas menjadi OKU, banyak perkara tidak lagi mampu dilakukan sendiri dan memerlukan bantuan orang lain. Itu perkara paling sukar untuk saya terima,” katanya.

Walaupun begitu, kedua-dua beradik itu memilih untuk menerima ketentuan dengan hati terbuka.

“Alhamdulillah, sejak awal lagi saya dan kakak dapat menerima apa yang berlaku.

“Kami tidak mengalami kemurungan dan bersyukur masih diberi peluang meneruskan kehidupan,” katanya.

Baca juga: 55 Pelajar Tahfiz Tawan Tiga Puncak Gunung Stong Dalam 11 Jam, Siap Berjaya Khatam Al-Quran!

dua beradik

Gambar ihsan Nor Haziera: Nik Haznita (kiri) dan adiknya, Nik Haziera gigih menjual cendol di Kampung Seri Lebak walaupun hanya satu kaki.

Tetap berniaga walaupun masih berdepan kesukaran

Selain kehilangan kaki kanan, Nik Haziera turut mengalami kecederaan pada tangan kanan yang masih memberi kesan sehingga hari ini.

“Tangan kanan saya hampir dipotong kerana banyak saraf dan tisu rosak. Sehingga kini, tangan saya masih kerap sakit, lemah dan ada kalanya kebas.

“Sebab itu saya memerlukan bantuan kakak ketika menyediakan cendol, terutama bagi kerja yang memerlukan tenaga.

“Cabaran paling besar ialah apabila pelanggan meminta perkhidmatan pandu lalu kerana kami tidak dapat bergerak pantas untuk memenuhi permintaan itu,” katanya.

Sokongan orang ramai jadi pembakar semangat

Menurut Nik Haziera, sambutan pelanggan terhadap perniagaan cendol mereka semakin menggalakkan selepas ramai mengetahui kisah yang dilalui.

“Alhamdulillah, cendol kami mendapat sambutan menggalakkan dan ramai datang selepas mengetahui kisah kami.

“Sepanjang tempoh pemulihan, saya sering bersiaran langsung di TikTok dan sokongan serta doa orang ramai termasuk keluarga dan rakan-rakan menjadi kekuatan untuk terus bangkit.

“Sehingga kini, kami tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan perniagaan,” luahnya.

Mengakhiri perkongsian, dia menitipkan kata-kata semangat kepada mereka yang sedang berdepan ujian hidup.

“Jangan mudah mengalah kerana hidup masih panjang dan anggap setiap ujian sebagai cabaran untuk diteruskan, bukan penghalang,” katanya.

@azieraaw tengah bincang cawangan baru ni 🙈 #cendolmelelehtemerloh ♬ Langkah Seiringan_Exist – SekilasJiwang

Sumber: Sinar Harian

FT Image: Nor Haziera

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×