Euforia Bola 2026
Asuh

Bila Anak Tanya Kenapa Babi Haram Tetapi Allah Wujudkan, Jangan Hanya Diam! Mommy Daddy Jawab Macam Ini…

BABI HARAM

“Kenapa babi haram tapi Allah wujudkan?

Ibu ayah di luar sana, jika anak anda bertanya soalan sedemikian, jangan terus memarahi atau menutup perbincangan tersebut. Sebaliknya, ambil peluang ini untuk memberi penerangan agar mereka lebih memahami konsep asas dalam Islam, iaitu setiap ciptaan Allah SWT mempunyai hikmah tersendiri.

Baca juga: Bayi 11 Bulan Meninggal Dunia Selepas Terjatuh Dari Kerusi, Pengasuh Ditahan Bantu Siasatan

KENAPA BABI HARAM TAPI ALLAH WUJUDKAN

BABI HARAM

Kredit: Magnific

Pendekatan yang lembut dan terbuka akan membantu anak-anak membina kefahaman yang betul serta mengukuhkan rasa ingin tahu mereka terhadap agama, bukan sekadar menerima sesuatu tanpa penjelasan.

1. Setiap ciptaan Allah ada tujuan

Dalam Islam, keyakinan asas yang perlu difahami ialah setiap ciptaan Allah SWT mempunyai tujuan dan hikmah tersendiri, sama ada difahami oleh manusia atau tidak.

Allah SWT berfirman:

“Kami tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya tanpa tujuan.” (Surah Sad: 27)

Daripada sudut alam semula jadi, khinzir juga memainkan peranan dalam ekosistem tertentu seperti membantu proses penguraian bahan organik dan sisa di persekitaran.

Namun dari sudut hukum syarak, pengharaman daging babi adalah sebahagian daripada peraturan Allah SWT yang menjadi ujian kepatuhan dan ketaatan hamba-Nya, sama seperti larangan terhadap perkara lain yang memudaratkan.

2. Manusia bukan pusat segala ciptaan

Salah satu kesilapan manusia ialah menganggap segala yang wujud di dunia ini diciptakan semata-mata untuk kegunaan manusia.

Hakikatnya, alam ini jauh lebih luas dan kompleks daripada itu.

Allah SWT berfirman:

“Tidak ada satu pun makhluk di bumi dan tidak juga burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka juga adalah umat seperti kamu.”  (Surah Al-An’am: 38)

Ayat ini menunjukkan bahawa semua makhluk mempunyai kehidupan dan sistemnya sendiri, bukan semata-mata berkait dengan kepentingan manusia.

BABI HARAM

Kredit: Magnific

3. Semua makhluk dalam pemeliharaan Allah

Setiap makhluk, sama ada yang disukai manusia atau tidak, tetap berada di bawah pemeliharaan dan rezeki Allah SWT.

Allah SWT juga berfirman:

“Tidak ada satu makhluk pun di bumi melainkan Allah yang memberi rezeki kepadanya.”  (Surah Hud: 6)

Ini menunjukkan bahawa kasih sayang dan kekuasaan Allah SWT merangkumi seluruh ciptaan-Nya tanpa terkecuali.

Walaupun manusia mungkin mempunyai persepsi berbeza terhadap sesuatu makhluk, ia tetap sebahagian daripada tanda kebesaran Allah yang mengajak manusia untuk berfikir dan merenung.

4. Ilmu Allah luas 

Tidak semua hikmah penciptaan dapat difahami oleh akal manusia. Ada perkara yang jelas hikmahnya, dan ada juga yang hanya diketahui oleh Allah SWT.

Firman Allah:

“Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 216)

Ayat ini mengingatkan bahawa keterbatasan ilmu manusia tidak mampu menandingi keluasan ilmu Allah SWT dalam setiap ketetapan-Nya.

Kesimpulannya, setiap ciptaan Allah SWT mempunyai hikmah dan peranan tersendiri, sama ada diketahui oleh manusia atau tidak.

Pengharaman sesuatu perkara seperti daging babi bukanlah kerana makhluk itu diciptakan tanpa tujuan, tetapi ia adalah sebahagian daripada peraturan dan ujian keimanan kepada manusia.

Sebagai hamba, kita diajak untuk memahami, merenung dan menerima bahawa setiap ketetapan Allah SWT pasti mengandungi hikmah yang lebih besar, walaupun tidak semua mampu kita fahami sepenuhnya.

Baca juga: Suami Buat Jadual KPI Bulanan Untuk Isteri, Warganet Kecam Layan Pasangan Macam Orang Gaji!

Sumber: Instagram Noorkids

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×