Sebuah buku agama yang tular di media sosial kini menjadi perhatian ramai selepas didakwa mengandungi potongan ayat al-Quran yang tidak tepat serta hadis berstatus dhaif dan palsu.
Baca juga: Kanak-Kanak 9 Tahun Maut Di Bilik Air, Sinki Pecah Ketika Panjat Untuk Buka Suis Pemanas Air
BUKU AGAMA GUNA POTONGAN AL-QURAN PALSU DAN HADIS DHAIF

Foto: Threads @fatindrawin
Isu itu mula diperkatakan selepas seorang pengguna Threads berkongsi beberapa tangkap layar kandungan buku berkenaan dan mendakwa terdapat dalil yang tidak wujud seperti mana dinyatakan dalam al-Quran.
Perkongsian tersebut pantas mendapat perhatian warga maya, malah ramai meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memastikan kesahihan kandungan buku berkenaan.
Dakwa Sebahagian Dalil Tidak Wujud Dalam Al-Quran

Foto: Threads @fatindrawin
Menerusi hantaran yang tular, wanita dikenali sebagai Fatin mendakwa terdapat beberapa potongan ayat yang disandarkan kepada surah tertentu, namun tidak ditemui selepas disemak.
Menurutnya, semakan turut dibuat terhadap surah-surah lain, namun ayat yang dinyatakan di dalam buku tersebut didakwa tidak wujud.
Dia turut mempersoalkan kemungkinan dalil yang digunakan dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap ketepatan kandungan buku tersebut.
Selain itu, Fatin juga mempersoalkan proses semakan manuskrip apabila mendakwa penulis dan penyunting buku merupakan individu yang sama.
Terdapat Hadis Dhaif Dan Palsu Dalam Buku Agama

Foto: Threads @syahdin_22
Menerusi perkongsian seorang pengguna, dia mendakwa hadis yang berbunyi “Wanita solehah lebih baik daripada 1,000 lelaki yang tidak beriman” merupakan hadis berstatus dhaif jiddan, manakala jalur periwayatan lain pula dinilai sebagai palsu.
Dia turut menjelaskan bahawa hadis tersebut tidak tepat jika disandarkan kepada Imam Tirmizi dan tidak terdapat dalam kitab Jami’ al-Tirmizi.
Menurutnya, setiap penulisan berkaitan agama seharusnya dirujuk terlebih dahulu kepada ahli yang berkelayakan sebelum diterbitkan kepada masyarakat.
Netizen Harap KDN Ambil Tindakan
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai perkara serius sekiranya benar berlaku.
Ada yang berpandangan kesalahan itu bukan sekadar melibatkan tanda bacaan atau ejaan, sebaliknya didakwa membabitkan ayat yang tidak wujud dalam al-Quran.
Sehubungan itu, mereka berharap pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran terhadap peraturan penerbitan.
Difahamkan, akaun rasmi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN di Threads turut mengambil maklum mengenai perkara tersebut dan meminta pengadu mengemukakan aduan rasmi melalui saluran SISPAA.
Pembaca Diingatkan Semak Kesahihan Sumber Agama
Dalam pada itu, ramai turut meluahkan kebimbangan terhadap kemungkinan terdapat pembaca yang menerima kandungan buku tersebut sebagai rujukan tanpa membuat semakan lanjut.
Mereka mengingatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk kepada al-Quran, hadis yang sahih serta mendapatkan penjelasan daripada ilmuwan atau institusi agama yang berautoriti sebelum berkongsi atau mengamalkan sesuatu ilmu.
Setakat ini, dakwaan yang tular di media sosial masih dalam perhatian orang ramai dan belum ada sebarang keputusan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung kesahihan kandungan buku tersebut.
Baca juga: Budak Hilang Selepas Tergelincir Di Sungai, Ditemukan Meninggal Dunia Tersangkut Pada Paip Pam Air
Sumber: Threads @fatindrawin dan Threads @syahdin_22
