Kerajaan Arab Saudi sekali lagi meneruskan usaha memperkukuh hubungan dengan umat Islam di seluruh dunia menerusi satu inisiatif khas yang memberi peluang kepada 1,000 jemaah lelaki dan wanita untuk menunaikan ibadah umrah. Program berkenaan dilaksanakan selepas mendapat perkenan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, yang menanggung sepenuhnya kos penyertaan para jemaah terpilih melalui program khas kerajaan Arab Saudi.
RAJA SALMAN TAJA UMRAH UNTUK SELURUH DUNIA

Menurut laporan media Arab Saudi, inisiatif tersebut dilaksanakan di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Lawatan yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan.
Program itu bertujuan memberi peluang kepada umat Islam dari pelbagai negara untuk mengunjungi Tanah Suci, menunaikan ibadah umrah serta mempererat hubungan persaudaraan sesama umat Islam.
Pelaksanaannya akan dijalankan secara berperingkat melalui empat fasa sepanjang tahun 1448 Hijrah. Bagi fasa pertama, seramai 250 jemaah akan dipilih daripada 16 negara di rantau Asia.
Antara negara yang terlibat ialah Malaysia, Indonesia, Timor-Leste, Filipina, Kemboja, Thailand, Vietnam, Laos, Singapura, China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Mongolia.
Program ini membuka peluang kepada peserta terpilih untuk menunaikan ibadah umrah dengan segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya di bawah tajaan kerajaan Arab Saudi.

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Syeikh Dr Abdullatif Al Alsheikh, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai bukti komitmen berterusan kepimpinan negara itu dalam berkhidmat kepada Islam dan umat Islam di seluruh dunia.
Menurut beliau, usaha tersebut turut mencerminkan kesungguhan kerajaan Arab Saudi dalam memudahkan umat Islam menunaikan ibadah di Tanah Suci dalam suasana yang selesa dan teratur.
Selain memberi peluang kepada jemaah menunaikan umrah, program itu juga dilihat sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat Islam dari pelbagai negara.
Ia turut melibatkan penyertaan golongan cendekiawan, ulama serta tokoh masyarakat yang berperanan dalam pembangunan komuniti Islam di negara masing-masing.
Melalui inisiatif ini, Arab Saudi terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan persaudaraan Islam sejagat serta mempromosikan nilai kerjasama dan persefahaman dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.
Sumber: BH Online
