Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan kandungan kini semakin meluas, termasuk dalam perkongsian berunsur ilmu agama di media sosial.
Namun, perkembangan ini turut menimbulkan kebimbangan apabila muncul kandungan yang kelihatan meyakinkan, tetapi sebenarnya mengandungi banyak kesalahan dari sudut fakta dan petikan agama.
ILMU AGAMA DARI USTAZAH AI RAIH RATUSAN RIBU PENGIKUT

Foto: Tiktok @nia.hajar_s
Baru-baru ini, satu perkongsian di Threads tampil memberi peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dengan satu akaun TikTok yang memaparkan watak “ustazah AI”.
Menurut perkongsian tersebut, akaun berkenaan pada awalnya kelihatan meyakinkan kerana menampilkan imej seorang ustazah yang berwajah manis, bertutur dengan lembut dan menyampaikan kandungan agama dalam gaya yang menarik perhatian.
Namun selepas dilihat dengan lebih teliti, pengguna itu mendakwa terdapat pelbagai kesalahan ketara dalam kandungan yang disampaikan, khususnya apabila melibatkan ayat-ayat al-Quran.
Bukan Sekadar Salah Sebutan, Malah Ada Ayat Didakwa Direka
Menurut perkongsian itu, kesalahan yang ditemui bukan hanya melibatkan sebutan huruf atau baris bacaan al-Quran, tetapi turut membabitkan perubahan pada struktur ayat.
Antara yang dibangkitkan termasuk pertukaran huruf dan baris, ayat yang kelihatan betul pada awalnya tetapi kemudiannya didakwa menjadi rekaan, selain terdapat perkataan yang ditambah atau dibuang sesuka hati.
Lebih membimbangkan, rujukan surah dan nombor ayat yang dipaparkan juga dikatakan tidak tepat, malah ada yang langsung tidak sepadan dengan petikan yang dibaca.
Kesalahan ejaan dalam teks ayat al-Quran yang dipaparkan turut disebut sebagai antara isu besar yang tidak boleh dipandang ringan.
Bimbang Masyarakat Terpedaya Dengan Content Yang Meyakinkan

Foto: Tiktok @nia.hajar_s
Apa yang menimbulkan kebimbangan ialah akaun berkenaan didakwa mempunyai jumlah pengikut yang sangat ramai, mencecah ratusan ribu, selain menerima jutaan tanda suka.
Ini menunjukkan kandungan seperti itu berpotensi tersebar dengan sangat luas dan dipercayai oleh masyarakat tanpa semakan.
Perkara ini sekali gus membuka ruang kepada penyebaran maklumat agama yang tidak sahih, terutama apabila kandungan disampaikan dalam bentuk video yang kemas, suara yang menyenangkan dan visual yang tampak “real”.
Dalam era media sosial hari ini, ramai pengguna cenderung untuk mempercayai sesuatu kandungan jika ia kelihatan profesional, sedangkan isi kandungannya belum tentu tepat.
Kandungan Ilmu Agama Tidak Wajar Diambil Bulat-Bulat Daripada AI
Teknologi AI sememangnya boleh membantu dalam pelbagai urusan, termasuk penghasilan kandungan dan penyampaian maklumat.
Namun apabila melibatkan agama, khususnya petikan al-Quran, hadis, tafsiran serta pandangan ulama, semakan daripada sumber yang sahih amat penting.
Jika kandungan sebegini disebarkan tanpa tapisan, ia boleh mengelirukan masyarakat dan menimbulkan salah faham terhadap ajaran Islam.
Semak Dulu Sebelum Kongsi
Perkongsian ini menjadi peringatan penting kepada orang ramai agar tidak mudah terpesona dengan kandungan agama yang menarik dari segi persembahan semata-mata.
Sebaliknya, setiap petikan ayat al-Quran, hadis dan nasihat agama wajar disemak terlebih dahulu dengan merujuk sumber yang sahih, guru yang bertauliah atau platform keilmuan yang dipercayai.
Justeru, pengguna media sosial disaran supaya lebih berwaspada, terutama apabila berdepan kandungan keagamaan yang dihasilkan secara automatik atau tidak jelas latar belakang sumbernya.
Sumber: Threads @khairulanuarbasri
