Euforia Bola 2026
Didik

Universiti Malaya Kini Di Tangga Ke-56 Dunia QS 2027, Pencapaian Terbaik Dalam Sejarah UM!

universiti malaya

Universiti Malaya (UM) terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila berjaya menduduki tangga ke-56 dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2027.

Baca juga: Berjaya Selesaikan 53 Soalan Sifir Dalam Seminit, Kanak-Kanak 6 Tahun ‘Tembus’ Malaysia Book Of Records!

UNIVERSITI MALAYA CATAT RANKING KE-56 DUNIA DALAM QS 2027

universiti malaya

Foto: Facebook Universiti Malaya

Pencapaian ini menyaksikan UM naik dua anak tangga berbanding kedudukan ke-58 yang dicatatkan sebelum ini, sekali gus menjadi kedudukan tertinggi pernah dicapai oleh universiti tersebut sepanjang sejarah penyertaannya dalam penarafan berprestij itu.

Dengan kedudukan tersebut, UM kini berada dalam kelompok 3.7 peratus universiti terbaik dunia, satu pencapaian yang membanggakan bukan sahaja buat warga universiti, malah seluruh rakyat Malaysia.

UM juga terus mengekalkan status sebagai universiti terbaik di Malaysia menerusi beberapa indikator utama yang dinilai oleh QS.

Antaranya termasuklah Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Keberhasilan Kebolehpasaran Graduan dan Kelestarian.

Dalam penilaian global, UM berada pada kedudukan:

  • Ke-56 bagi Reputasi Akademik
  • Ke-61 bagi Reputasi Majikan
  • Ke-184 bagi Kebolehpasaran Graduan
  • Ke-166 bagi Kelestarian

Pencapaian ini menunjukkan bahawa graduan UM bukan sahaja diiktiraf dari segi akademik, malah mempunyai nilai yang tinggi dalam pasaran pekerjaan.

Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa Universiti Malaya Turut Meningkat

universiti malaya

Foto: NST

Selain prestasi akademik, UM turut menunjukkan pencapaian memberangsangkan dalam aspek jaringan global dan antarabangsa.

Universiti itu berjaya mencapai kedudukan ke-125 dunia bagi indikator Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa, manakala bagi kategori Pelajar Antarabangsa pula, UM berada di tangga ke-153 dunia.

Kedua-dua pencapaian ini membuktikan kemampuan UM untuk menarik kerjasama penyelidikan antarabangsa serta menjadi destinasi pilihan pelajar dari pelbagai negara.

“Pilih Disiplin Berbanding Berpuas Hati”

Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman menyifatkan pencapaian tersebut sebagai detik bersejarah buat universiti berkenaan.

Menurut beliau, kejayaan itu merupakan hasil usaha berterusan seluruh warga universiti yang sentiasa mengutamakan kecemerlangan dan penambahbaikan.

Ia adalah hasil sebuah universiti yang memilih disiplin berbanding sikap berpuas hati, pelaksanaan berbanding retorik serta tekad bersama berbanding kebiasaan konvensional semata-mata,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut mencerminkan kekuatan sebuah institusi yang didorong oleh visi yang jelas, kerja keras serta komitmen daripada ahli akademik, penyelidik, pelajar, kakitangan dan pasukan kepimpinan universiti.

Tambah beliau, UM bukan sahaja mengambil bahagian dalam landskap pendidikan tinggi global, malah semakin memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju pendidikan tinggi dunia.

Hanya 1,504 Universiti Tersenarai Daripada 8,808 Institusi

Untuk QS World University Rankings 2027, sebanyak 8,808 institusi pengajian tinggi dari seluruh dunia telah dinilai.

Daripada jumlah tersebut, hanya 1,504 universiti berjaya tersenarai dalam ranking akhir yang merangkumi 106 lokasi di seluruh dunia.

Malaysia pula menyaksikan 32 institusi pengajian tinggi dinilai dalam penarafan berkenaan, dengan Universiti Malaya muncul sebagai institusi tempatan yang mencatat kedudukan tertinggi.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi negara mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan menjadi antara yang terbaik di dunia.

Tahniah Universiti Malaya atas pencapaian bersejarah ini. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak institusi pendidikan tempatan untuk terus melakar kecemerlangan di peringkat global.

Baca juga: “Tudung Dah Melepet, Mata Pun Bengkak” – Luahan Fadhlina Sidek Hantar Anak Ke Universiti Buat Ramai Tersentuh

Sumber: Facebook Universiti Malaya dan Harian Metro

FT Images: NST dan Facebook Universiti Malaya

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×