Telur merupakan antara bahan makanan yang paling kerap digunakan dalam masakan harian. Sama ada untuk sarapan, membuat kuih-muih atau menyediakan hidangan ringkas, stok simpan telur hampir pasti ada di dalam peti sejuk setiap rumah.
Baca juga: 5 Menu Sarapan Yang Buat Anak Cepat Lapar Semula, Ramai Ibu Bapa Selalu Beri Tanpa Sedar
SIMPAN TELUR DI PETI SEJUK PUNCA TELUR CEPAT ROSAK

Foto: Gemini AI
Disebabkan kebanyakan peti sejuk dilengkapi dengan ruang khas untuk menyimpan telur pada bahagian pintu, ramai yang menganggap itulah lokasi paling sesuai.
Namun, pakar keselamatan makanan sebenarnya tidak menggalakkan amalan tersebut kerana ia boleh menjejaskan kesegaran dan kualiti telur dalam jangka masa panjang.
Kenapa Simpan Telur Di Pintu Peti Sejuk Tidak Digalakkan?
Walaupun ramai yang menyimpan telur di pintu peti sejuk kerana lebih mudah dicapai, tabiat ini sebenarnya kurang sesuai jika anda ingin mengekalkan kesegaran telur untuk tempoh yang lebih lama.
Berikut merupakan beberapa sebab mengapa telur tidak digalakkan di simpan dalam peti sejuk.
1. Suhu Sering Berubah-Ubah
Bahagian pintu peti sejuk merupakan kawasan yang paling kerap terdedah kepada perubahan suhu kerana ia dibuka dan ditutup berkali-kali setiap hari.
Apabila suhu berubah secara berulang, telur mungkin kehilangan kesegarannya dengan lebih cepat berbanding jika disimpan di bahagian dalam peti sejuk yang lebih stabil.
2. Risiko Pertumbuhan Bakteria Meningkat
Perubahan suhu yang kerap boleh mewujudkan keadaan yang kurang ideal untuk penyimpanan telur.
Walaupun telur masih kelihatan elok dari luar, turun naik suhu boleh meningkatkan risiko pertumbuhan bakteria dan menjejaskan kualiti makanan tanpa disedari.
3. Mudah Retak Akibat Getaran
Setiap kali pintu peti sejuk dibuka atau ditutup, telur yang berada di situ akan mengalami sedikit gegaran.
Dalam tempoh yang lama, keadaan ini boleh menyebabkan telur bergesel antara satu sama lain dan meningkatkan risiko keretakan halus pada kulit telur, sekali gus memudahkan pencemaran berlaku.
Jadi, Apa Yang Perlu Dilakukan?

Foto: Gemini AI
Dengan beberapa langkah penyimpanan yang betul, telur boleh kekal segar lebih lama dan risiko pencemaran makanan juga dapat dikurangkan.
Berikut antara langkah yang disarankan:
1. Simpan Di Rak Bahagian Tengah Atau Belakang
Bahagian tengah atau belakang peti sejuk mempunyai suhu yang lebih konsisten dan sejuk.
Ini merupakan lokasi terbaik untuk memastikan telur kekal segar dan tahan lebih lama.
2. Kekalkan Dalam Bekas Asal
Sebaiknya simpan telur dalam bekas karton asal yang dibeli dari kedai.
Bekas tersebut bukan sahaja melindungi telur daripada hentakan, malah membantu mengurangkan penyerapan bau daripada makanan lain di dalam peti sejuk.
3. Basuh Hanya Sebelum Digunakan
Ramai yang terus membasuh telur sebelum menyimpannya, sedangkan tindakan itu boleh menanggalkan lapisan pelindung semula jadi pada kulit telur.
Untuk hasil yang lebih selamat, basuh telur hanya apabila anda ingin menggunakannya dalam masakan.
Walaupun ruang khas telur di pintu peti sejuk nampak praktikal dan mudah dicapai, ia sebenarnya bukan tempat terbaik untuk penyimpanan jangka panjang.
Dengan menyimpan telur di bahagian dalam peti sejuk, mengekalkannya dalam bekas asal dan mengelakkan perubahan suhu yang kerap, ia boleh membantu memastikan telur kekal segar, berkualiti dan selamat dimakan lebih lama.
Sumber: Geldard Farm Eggs
FT Images: Gemini AI
