Detik menghantar anak sambung belajar ke universiti sememangnya menjadi antara momen paling mencabar buat ibu bapa. Walaupun hati dipenuhi rasa bangga melihat anak melangkah ke fasa baharu kehidupan, perasaan sedih dan sayu tetap sukar disembunyikan.
Perasaan itu turut dirasai Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, apabila menghantar anak perempuannya, Maryam, yang bakal memulakan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
YB FADHLINA SIDEK SEBAK HANTAR ANAK SAMBUNG BELAJAR

Foto: Facebook Fadhlina Sidek
Menerusi satu perkongsian menyentuh hati di Facebook, Fadhlina meluahkan perasaan seorang ibu yang terpaksa melepaskan anak untuk berdikari demi menuntut ilmu.
Dalam hantaran tersebut, beliau menitipkan pesanan penuh kasih sayang buat anaknya agar sentiasa menjaga diri, mengutamakan ibadah dan tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang Muslimah.
“Jaga diri sayang. Jangan lupa murajaah Al-Quran dan jaga solat lima waktu.”
Beliau turut mengakui dirinya tidak dapat menahan sebak sepanjang proses mengemas bilik penginapan anaknya.
“Mummy memang meraung tadi. Mata pun sudah bengkak menangis dan tudung sudah melepet buruk sebab sibuk jadi ‘makcik cleaner’ kemas bilik anak,” tulisnya.
Perkongsian jujur itu mengundang rasa tersentuh dalam kalangan netizen yang memahami perasaan ibu bapa apabila tiba masanya untuk berjauhan dengan anak-anak.
Sukar Lepaskan Anak Yang Pernah Menjadi Anak Bongsu

Foto: Facebook YB Fadhlina Sidek
Menurut Fadhlina, perpisahan kali ini terasa lebih berat kerana Maryam pernah menjadi anak bongsu keluarga dalam tempoh yang agak lama sebelum menerima kehadiran tiga orang adik yang lain.
Beliau turut berseloroh bahawa faktor usia mungkin membuatkan dirinya menjadi lebih emosional setiap kali melihat anak-anak melangkah pergi.
“Ya, memang susah sedikit tinggalkan anak yang ini. Lama dia menjadi anak bongsu sebelum mendapat tiga adik yang lain.
“Mungkin juga sebab mummy sudah tua. Maka setiap kali anak meninggalkan mummy, terasa sangat sayu.”
Walaupun berat hati, beliau menyerahkan sepenuh pengharapan kepada Allah agar urusan anaknya dipermudahkan sepanjang berada di menara gading.
Apa yang lebih menarik, Maryam kini bergelar warga UIAM, universiti yang turut menyimpan seribu satu kenangan buat Fadhlina suatu ketika dahulu.
UIAM dikenali dengan gelaran “Taman Ilmu dan Budi”, menjadikan perjalanan pendidikan Maryam seolah-olah mengulangi jejak langkah ibunya sendiri.
Beliau turut menitipkan doa agar anaknya dikurniakan kefahaman mendalam dalam agama serta dipermudahkan dalam menuntut ilmu.
Netizen Turut Rasa Sebak
Ruangan komen dihujani ucapan tahniah dan doa daripada orang ramai yang turut tersentuh membaca luahan hati seorang ibu.
Ramai yang berkongsi pengalaman sama apabila menghantar anak memasuki universiti, malah ada yang mengakui tidak mampu menahan air mata ketika melalui situasi tersebut.
Ada juga yang berseloroh bahawa Maryam mungkin bakal mengikuti jejak langkah ibunya dalam bidang perundangan suatu hari nanti.
Perkongsian ini membuktikan bahawa setinggi mana pun kedudukan seseorang, naluri dan kasih sayang seorang ibu tetap sama.
Di sebalik ketegasan seorang pemimpin, tersimpan hati seorang ibu yang sentiasa mendoakan dan merindui anak-anaknya.
Semoga Maryam dipermudahkan segala urusan sepanjang menuntut ilmu dan terus mengharumkan nama keluarga pada masa hadapan.
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek
FT Images: Facebook Fadhlina Sidek
