Bagi anda yang mencari doa awal akhir tahun yang boleh dibaca bermula selepas menunaikan solat Asar (16 Jun), berikut penulis kongsikan di bawah.
Bagi tahun 1447H ke 1448H, waktu pertukaran tahun Hijrah berlaku pada 30 Zulhijjah 1447H bersamaan 16 Jun 2026 (Selasa), berdasarkan ketetapan kalendar Islam yang digunakan di Malaysia.
Baca juga: Surah Yang Dianjurkan Untuk Baca Ketika Ziarah Kubur, Cukup Ke Baca Al-Fatihah Sahaja?
DOA AWAL AKHIR TAHUN BOLEH DIBACA HARI INI (16 JUN)
Doa Akhir Tahun Hijrah (1447H)
Doa akhir tahun Hijrah dianjurkan untuk dibaca sebelum masuk waktu Maghrib, iaitu selepas selesai menunaikan solat Asar pada 30 Zulhijjah 1447 Hijrah bersamaan 16 Jun 2026 (hari Selasa).

Maksudnya: Ya Allah, jika ada apa-apa yang telah kami lakukan pada tahun ini, apa yang Engkau tegah, tetapi kami tidak bertaubat daripadanya sedangkan Engkau tidak melupakannya, dan Engkau berlembut ke atas kami dengan kasih sayang-Mu, padahal Engkau berkuasa untuk menghukum kami, dan Engkau memberi peluang kepada kami untuk bertaubat selepas kami dengan beraninya melakukan maksiat kepada-Mu. Oleh yang demikian,
Ya Allah, kami memohon keampunan-Mu maka ampunilah kami. Ya Allah, jika ada apa-apa yang telah kami lakukan pada tahun ini, apa yang Engkau reda dan Engkau janjikan pahala dan keampunan padanya, maka Engkau terimalah amalan kami, dan janganlah Engkau menghampakan harapan kami kepada-Mu, wahai Than yang Maha Penyayang.
Doa ini dibaca sebagai usaha memohon keampunan Allah SWT terhadap segala dosa, kesilapan serta kekurangan sepanjang tahun yang telah dilalui. Ia juga menjadi detik untuk seorang Muslim bermuhasabah diri dan menutup lembaran tahun dengan hati yang lebih tenang.
Doa Awal Tahun Hijrah (1448H)
Dibaca selepas Azan Maghrib atau selepas menyempurnakan fardhu Maghrib pada malam hari 30 Zulhijjah 1447H bersamaan 16 Jun 2026, iaitu malam masuknya 1 Muharram 1448H.

Maksudnya: Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Kekal Abadi, yang Qadim lagi Awal, tiada permulaan, dengan limpah kurnia-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang sejati, telah tiba tahun yang baharu ini kepada kami.
Maka kami memohon kepada-Mu pemeliharaan daripada syaitan dan tentera-tenteranya, dan kami memohon pertolongan menghadapi nafsu ammarah yang sentiasa mengajak kepada kejahatan, dan kami memohon pertolongan untuk sentiasa melakukan apa-apa amalan yang dapat menghampirkan kami kepada- Mu sehampir-hampirnya, wahai Than yang empunya kebesaran dan kemuliaan.
Doa ini menjadi tanda permohonan kepada Allah SWT agar diberikan perlindungan, keberkatan, serta kebaikan sepanjang tahun baharu yang bakal ditempuhi.
Sebagai penutup tahun Hijrah, ia bukan sekadar perubahan angka, tetapi juga satu peluang untuk memperbaharui niat, memperbaiki diri serta memohon agar tahun yang mendatang dipenuhi rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.
Sumber: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan & Jabatan Agama Islam Selangor – Rasmi
